Herba Berkhasiat Semasa Berpantang

Serai


Kandungan citral di dalam serai amat berkesan dalam membantu proses pencernaan, melegakan kekejangan, ketegangan otot, sengal-sengal dan sakit kepala. Antara lain, tonik yang ada juga boleh merangsang sistem badan. Malah turut membantu anda menurunkan suhu badan.

Kurma


Kajian membuktikan bahawa kurma adalah antara makanan yang paling pantang diproses bagi membekalkan tenaga. Memandangkan selepas bersalin, anda perlu menggabungkan pelbagai jenis makanan untuk menggantikan tenaga dan darah yang berkurangan, jadi kurma adalah pilihan yang sesuai. Selain itu, ia turut kaya dengan unsur zat besi dan kalsium bagi merangsang penghasilan susu ibu.

Lada Hitam


Lada hitam terkenal sebagai ubat dalaman kerana ia berupaya mengeluarkan angin dari perut dan usus serta bermanfaat untuk memanaskan badan. Selain itu, ia juga dapat melancarkan aliran darah, mengatasi kembung perut dan mengubati sakit serta pening kepala.

Bawang Putih


Bawang putih mengandungi tinggi karbohidrat, sedikit protien, serat serta lemak. Selain itu, vitamin dan bahan galian yang penting untuk kesihatan seperti vitamin C, zat besi dan pottasium banyak terkandung di dalamnya. Lantaran itu ia sangat baik untuk menyembuhkan luka. Amalan memakan bawang putih sangat elok diamalkan kerana ia menjadikan anda kekal bertenaga.

Halia


Ia mengandungi atsiri, damar, mineral sineol, vitamin A, B1,C dan protien menjadikannya baik untuk mengubati luka luar dan dalam,merawat kegatalan, merangsang kelenjar pencernaan dan membangkit selera makan. Rasa dan aroma pedasnya pula dapat menghangatkan tubuh dan mengeluarkan peluh dengan berkesan.

Kunyit


Kunyit dapat membersihkan perut, melepaskan lebihan gas pada usus, menghentikan pendarahan, melancarkan aliran darah dan mencegah pengumpulan darah.

Lengkuas


Lengkuas berkhasiat dalam membantu membersihkan darah, menghalang gangguan perut dan merangsang otot.

Khasiat Cekur – Ulam untuk ibu dalam pantang

Cekur

Cekur  ditanam di kebanyakan rumah di kampung-kampung tradisi, sama ada untuk kegunaan perubatan atau masakan.Pokok cekur mempunyai daun yang sederhana lebar, tebal dan berwarna hijau sementara bahagian bawah daunnya berwarna hijau muda. Nama saintifiknya ialah Kaemferia galanga daripada keluarga Zingiberaceae. Bunganya berwarna ungu dan tumbuh di celah-celah pucuk sementara akarnya mengeluarkan umbisi seperti kunyit.

Pokok ini membiak melalui umbisinya. Tradisi penanamannya juga dibuat melalui umbisi dan anak cekur yang masih kecil. Isi cekur berwarna putih dan baunya maung serta pahit. Namun begitu, ia sering dijadikan ulam oleh kaum wanita, terutamanya selepas bersalin.

Selain dimakan begitu saja, amalan merebus pokok dan akarnya juga dilakukan di mana air rebusan ini diminum oleh penggemar herba tradisi ini. Khasiatnya dikatakan boleh mengembalikan tenaga terutama bagi wanita-wanita selepas bersalin dan mereka yang merasa kurang bermaya. Kepada mereka yang mengamalkannya secara berterusan, ulam ini dikatakan boleh mengekalkan keremajaan.Satu lagi khasiatnya ialah ia boleh mencegah keguguran bagi wanita-wanita yang bermasalah. Ia juga boleh menghilangkan gatal tekak dengan mengunyah umbisinya.

Terdapat sejenis lagi cekur yang amat berkhasiat dalam tradisi perubatan Melayu. Cekur ini disebut sebagai cekur merah. Daunnya berwarna perang dan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu, tetapi ada juga spesies yang mengeluarkan bunga berwarna ungu.
Untuk mengenal pasti jenisnya, gosokkan umbisi pokok ini pada empulur pisang. Jika benar ia dari spesies yang dimaksudkan, ia akan meninggalkan kesan kemerah-merahan pada batang pisang berkenaan.

cekur-merah

Rendang Hati Lembu



Sumber : Majalah RASA – April 2004 (Resepi Ibu Dalam Pantang)

Bahan-bahan:
½ kg hati lembu – dipotong
2 cawan pati santan
½ cawan kerisik
2 sudu makan rempah kari
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan (dikisar)
10 ulas bawang merah
200 gm cili merah
2 sudu makan ketumbar
3 batang serai
4 cm lengkuas
2 cm halia
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 biji buah keras

Cara Membuat
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan rempah kari dan hati. Kacau sekejap.
3. Masukkan santan dan masak hingga pekat.
4. Akhir sekali masukkan kerisik dan garam secukup rasa.

Sup Sayur Campur

Sumber : Majalah RASA – April 2004 (Resepi Ibu Dalam Pantang)

Bahan-bahan:
3 ulas bawang putih
1 kiub pati rebusan ayam
50 gm suun
40 gm kek ikan
30 gm bunga kobis
30 gm brokoli
30 gm cendawan
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak

Cara Membuat
1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis bawang putih bersama kek ikan hingga wangi.
2. Masukkan air bersama pati rebusan ayam dan semua sayuran. Biar hingga mendidih.
3. Masukkan suun. Biar selama lima minit sebelum diangkat. Hidangkan.

Petua Orang Tua : Walaupun ada yang mengatakan ibu selepas bersalin tidak digalakkan menikmati makanan berkuah, tetapi harus diingat masalah sembelit mudah berlaku sekiranya mereka hanya ingin mengamalkan makanan kering. Sayur-sayuran tetap diperlukan oleh setiap ibu yang sedang berpantang.

Sup Tulang



Sumber : Majalah RASA – April 2004 (Resepi Ibu Dalam Pantang)

Bahan A
1 kg tulang lembu – dicuci dan ditoskan
2 sm halia – diketuk
1 sudu makan lada hitam – ditumbuk
1 sudu teh garam kasar
1 sudu makan gula
Air secukupnya

Bahan B (ditumbuk)
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 cm halia
1 sudu makan jintan manis
1 sudu makan lada hitam

Bahan C (ditumis)
2 batang kulit kayu manis
1 biji bawang besar – dihiris
5 biji cengkih
3 biji bunga lawang
4 biji buah pelaga

Bahan D
2 bunjut rempah sup tulang
3 bji kentang – dibelah dua
8 biji cili api
3 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos ikan
1 biji jus limau nipis
Sedikit minyak
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk perasa
Bawang goreng, daun sup dan daun bawang – untuk ditabur

Cara Membuat
1. Masukkan tulang yang telah dibersihkan bersama air, halia, gula, garam kasar dan lada hitam dalam satu periuk. Didihkan atas api kecil dan bertutup hingga tulang empuk. Tambah air jika perlu.
2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang hingga kuning. Masukkan kesemua bahan C dan kacau.
3. Masukkan pula bahan B dan tumis hingga garing.
4. Setelah garing, masukkan rempah sup. Kacau dan masukkan satu senduk stok dan kacau sekejap. Tuang bahan tumis ini ke dalam periuk stok tulang dan kacau sekejap.
5. Didihkan kembali, masukkan garam, serbuk perasa, sos tiram dan sos ikan. Tutup dan biarkan mendidih lagi. Kemudian masukkan separuh bawang goreng.
6. Akhir sekali masukkan cili api dan sedikit hirisandaun sup. Tuang jus limau dan kacau rata. Ketika menghidang, taburkan bawang goreng, daun sup dan daun bawang.

Petua Orang Tua : Masakan jenis sup biasanya banyak menggunakan campuran rempah ratus. Ia sangat baik dalam memanaskan badan dan mencuci darah.