Bahaya Makanan Ringan

junk food

Makanan ringan boleh dikategorikan sebagai makanan kurang khasiat yang memudaratkan kerana ia mengandungi karbohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam dengan kadar yang tinggi, di samping rendah ataupun tiada langsung bahan serat, protein, vitamin dan zat-zat logam di dalamnya (Ask The Dietitian-‘Junk Food,’ Joanne Larsen  (MS RD LD), 1996, di dietition.com).

Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah Al-Baqarah ayat 172)

Nabi Muhammad bersabda: “Jauhilah sesuatu yang memudaratkan…” (Riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah)

Pelbagai Makanan Ringan

Kek dan kuih-muih mengandungi kadar gula yang tinggi dan kadar vitamin serta zat-zat logam yang amat rendah. Minuman jenis cola juga mengandungi lebihan gula dan kadangkala ia dicampurkan dengan sejenis dadah yang boleh membawa kepada ketagihan, iaitu kafeina. Ais krim pula mengandungi banyak gula dan lemak.

Minuman jus buah-buahan yang dijual di dalam botol kebanyakannya tidak mengandungi jus buah-buahan asli, sebaliknya mengandungi banyak gula, air, bahan pewarna dan perisa tiruan. Kentang goreng atau potato chips pula mengandungi kadar lemak dan garam yang tinggi yang memudaratkan (The Smart Food, Junk Food, The Learning Network Inc, 2001, factmonster.com/ipka/A0768674.html)

Makanan Ringan Dan Darah Tinggi

Makanan ringan amat berbahaya kepada kesihatan apatah lagi apabila ia diambil selalu. Pengkaji-pengkaji dari Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakersfield California, dan Prevention Concepts, Inc. di Los Angeles, pernah menjalankan satu kajian yang melibatkan 200 pelajar sekolah dan mendapati lapan daripada sepuluh pelajar-pelajar itu mengambil lebihan lemak tepu melalui makanan ringan. Ujian makmal menunjukkan, satu pertiga daripada mereka mengandungi kadar kolesterol di dalam darah yang tinggi dan 10% daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi.

Kajian ini jelas menunjukkan lebihan lemak tepu yang terdapat di dalam makanan ringan akhirnya menyempitkan pembuluh darah dan menjadi penyebab kepada penyakit darah tinggi terutamanya apabila umur seseorang sudah meningkat (CBC4Kids Daily News Story, The Dangers of a Junk Food Diet, March 16 2000, cbc4kids.ca/general/whats-new/daily-top-stories).

Makanan Ringan Dan Asma

Di dalam kajian yang lain, ahli-ahli sains dari Scotland dan Saudi Arabia mendapati makanan ringan merupakan penyebab utama berlakunya peningkatan penyakit alahan dan asma di kalangan kanak-kanak. Kajian ini yang melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit asma dan 200 kanak-kanak lain yang tidak menghidapnya mendapati, mereka yang kurang mengambil sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu lebih mudah diserang penyakit ini. Kes-kes asma didapati meningkat sebanyak 50% di dalam jangka masa 10 tahun (Junk Food Linked to Child Asthma, Richard T. Herrick (MD), Titan Support Systems Inc, USA, 1998, titansupport.com/people/medical/childasthma).

Makanan Ringan Dan Sakit Jantung

Makanan ringan berbahaya kepada jantung. CNN.com.health bertarikh 14 Mac 2000 melaporkan, makanan} ringan meningkatkan risiko remaja menghidap sakit jantung. Ia berpunca daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat di dalam makanan ringan pada hari ini. Penemuan ini dibentangkan di dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim, California (CNN.com.health, Study: Junk Food Raises Teens’ Risk Of  Heart Disease, Elizabeth Cohen, March 14, 2000, .cnn.com/2000/HEALTH/03/14/teen.arteries/

Makanan Ringan Dan Kesan Pada Otak

Makanan ringan juga boleh merosakkan fungsi otak. Satu kajian telah di lakukan di Baycrest Centre for Geriatric Care di Universiti Toronto, Kanada, berhubung dengan perkara ini. Mereka mendapati makanan ringan yang memang mengandungi lebihan lemak, merosakkan daya konsentrasi dan ingatan otak. Hal ini disebabkan, otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik sedangkan lebihan lemak mengganggu peranan glukosa itu.

Profesor Carol Greenwood, seorang pakar sains dari Kunin-Lunenfeld Applied Research Unit di Universiti Toronto merumuskan, makanan ringan yang mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi dan karbohidrat yang rendah pastinya bukan makanan yang sesuai untuk otak manusia (Junk Food Impairs Brain: Study, Steven de Sousa, Feb. 26 2001, University of Toronto, newsandevents.utoronto).

Makanan Ringan Dan Buta

Mereka yang banyak mengambil makanan ringan yang tinggi kadar lemaknya, menghadapi risiko yang tinggi menjadi buta apabila berumur dalam lingkungan 55 tahun. Penyakit ini yang dikenali sebagai macular degeneration sering menyerang perokok-perokok namun sekarang ia juga menyerang peminat-peminat makanan ringan.

Penemuan ini yang dimuatkan di dalam Archives of Ophthalmology, dilaporkan oleh pakar-pakar sains dari Massachusetts Eye And Ear Infirmary di Amerika, selepas melakukan kajian ke atas 349 orang pesakit yang berumur di antara 55 hingga 80 tahun. Semua ini mengesahkan tentang bahaya makanan ringan yang popular di kalangan masyarakat moden pada hari, justeru pengambilannya perlu dikawal sebelum kemudaratan yang lebih teruk menimpa ke atas diri kita (ABCNEWS.com, Blinded by Junk Food? Study: Snacks May Be Bad For Vision, Aug. 15 2001, abcnews.go.com/sections/GMA/GoodMorningAmerica).

Tambahan daripada itu, kajian oleh para saintis dari Universiti Oxford, England, mendapati pengambilan makanan ringan juga meningkatkan peratus keganasan dalam masyarakat. Peningkatan ini begitu ketara dalam masa 50 tahun ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan khasiat-khasiat tertentu, terutamanya omega-3, jika seseorang banyak mengambil makanan ringan. Omega-3 membantu di sudut pengawalan emosi seseorang.

Nukilan Dr. Danial b Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria). Rujukan: Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh Dr. Danial.

http://mindasuper.com/v2/

Bahaya Gula

Gula Putih

Sumber : Harian Metro
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

BERITA kenaikan harga gula selepas sambutan Tahun Baru Cina ini pasti meresahkan ramai pengguna. Mana tidaknya, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini, harga barang keperluan harian pula meningkat.

Memang ia berita yang kurang sedap didengar tetapi jika difikirkan semula, mungkin ini boleh dijadikan titik tolak untuk memperbaiki tahap kesihatan.

Sebenarnya semua orang, tidak kira kanak-kanak, remaja atau orang dewasa, tidak memerlukan gula. Gula hanya perisa yang mengandungi kalori tetapi tiada khasiat.

Ia digunakan hanya untuk menaikkan rasa makanan dan sebagai mana yang kita tahu, makanan manis memang lebih mudah diterima, terutama di kalangan kanak-kanak.

Manis dan masin adalah rasa yang dipelajari sejak kanak-kanak. Berbanding rasa masin garam, kemanisan gula lebih memikat selera.

Ini sebabnya ada ibu bapa memasukkan gula dalam makanan anak untuk menggalakkan mereka makan. Namun kesilapan kecil ini merangsang cita rasa anak terhadap makanan manis dan ia biasanya berlanjutan hingga dewasa.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, rakyat negara kita mengambil kira-kira 125 gram sehari atau 875 gram seminggu; lebih dua kali ganda daripada had disaran iaitu hanya 50 gram atau tidak melebihi 10 camca teh.

Bukan rakyat Malaysia saja yang mengambil banyak gula, malah ia juga berlaku pada masyarakat Barat, termasuk Amerika Syarikat. Akhbar melaporkan, secara purata rakyat Amerika mengambil antara 900 hingga 1,350 gram gula seminggu!

Namun ini bukan perkara yang perlu dicontohi atau dijadikan saingan kerana banyak kajian menunjukkan pengambilan gula berlebihan hanya memudaratkan kesihatan. Malah, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, menyarankan pengguna mengurangkan meminum minuman ringan yang dihasil menggunakan gula fruktosa yang mengandungi lebih 50 peratus gula sukrosa.

Katanya, penyelidik mendapati tindakan fruktosa dalam badan berbeza daripada gula jenis lain kerana ia dimetabolismakan dengan cara yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan kerana ia tidak menghalang tindakan ghrelin iaitu hormon rasa lapar.

Maknanya, fruktosa meningkatkan kecenderungan kita untuk makan dan makan berlebihan itu adalah penyumbang utama kenaikan berat badan.

Gula sebenarnya adalah karbohidrat. Sumber penting tenaga. Nasi, bihun, mi, pasta, roti, sayuran berubi dan buah-buahan adalah makanan yang kaya karbohidrat. Jadi kita tidak perlu risau jika tidak mengambil gula kerana semua makanan yang diambil memang mengandungi gula karbohidrat, sama ada dalam bentuk semula jadi atau diproses. Karbohidrat juga ditukar ke bentuk gula ringkas dulu sebelum ia boleh digunakan sebagai tenaga.

Biasanya apabila bercakap mengenai gula, kita merujuk kepada gula sukros daripada tebu atau beet. Antara bentuk gula yang ada di pasaran ialah gula bertapis seperti sukrosa (gula pasir atau halus), dekstrosa (sirap jagung) dan sirap fruktosa (sirap) yang digunakan dalam penghasilan pelbagai makanan seperti roti, bijirin sarapan pagi, mentega kacang, mayonis, sos, kicap dan minuman ringan. Itu belum masuk makanan yang sememangnya manis seperti kek, biskut atau kuih muih.

Malangnya badan kita tidak dapat membezakan antara gula asli atau yang diproses kerana semuanya memberi kesan sama. Secara umumnya semua jenis gula, tidak kira apa jenis dan sumbernya (termasuk daripada karbohidrat) membekalkan tenaga sebanyak empat kalori bagi setiap gram.

Kita semua maklum, setiap tenaga berlebihan disimpan sebagai lemak. Bagi individu yang ada masalah berat badan, cita rasa terhadap makanan manis memburukkan keadaan dan menyukarkan proses menguruskan badan. Malah, ada yang menganggap gula bertapis (yang berwarna putih) sebagai punca kematian kerana di sebalik rasa manisnya, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada sistem imun, berat badan dan kesihatan secara keseluruhan.

Bagaimana gula boleh menjejaskan kesihatan?

– Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Malah, gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

– Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Maknanya, ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

– Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

– Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Walaupun semua orang tahu bersenam itu penting bagi membakar (menggunakan tenaga), masih ada yang liat mengamalkannya. Tenaga yang berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.

– Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan, gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

Tabiat makan yang terlalu kerap juga perlu dihentikan. Ini kerana apabila kita makan (khususnya makanan mengandungi karbohidrat), ia meningkatkan kemungkinan pereputan gigi kerana air liur lebih banyak digunakan untuk menghancurkan makanan, sedangkan air liur penting bagi meneutralkan tahap keasidan mulut.

Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan yang lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

Langkah untuk mengurangkan pengambilan gula:

– Baca label dan periksa kandungan gula sesuatu produk. Perkataan glukosa, sukrosa, fruktosa, dekstrosa, madu, gula perang dan semua jenis sirap bererti gula.

– Buat catatan, terutama bagi yang suka makanan manis. Catatan ini termasuk minuman manis (kopi, teh atau jus buah ketika sarapan), sajian pencuci mulut (kuih-muih, snek, gula-gula atau kek. Melalui cara ini, anda boleh membuat penilaian berapa banyak makanan manis yang anda ambil dalam masa sehari atau seminggu.

– Amalkan minum air masak setiap kali makan, terutama ketika makan tengah hari atau makan malam. Jika selama ini anda minum minuman manis, kurangkan kemanisan minuman anda. Pastikan anda juga meminta segelas air masak bersama minuman manis bagi menambah pengambilan air masak.

– Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Ini bersamaan dengan saranan pengambilan gula harian daripada makanan dan minuman. Minuman ringan adalah sumber gula tambahan paling utama dalam diet kanak-kanak Amerika Syarikat. Senario ini tidak banyak berbeza dengan keadaan kanak-kanak di negara kita yang dibesarkan dengan pelbagai minuman ringan. Justeru, tidak hairan jika masalah obesiti kanak-kanak di Malaysia turut meningkat.

– Ketika membeli, pilih makanan atau minuman yang mempunyai label ‘kurang manis’.

– Gantikan snek makanan ringan atau sajian pencuci mulut kuih muih kepada buah-buahan.

Jejas kesihatan

– Gula putih menyekat sistem imun

– Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik

– Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser

– Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan

– Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi

Langkah

– Baca label dan periksa kandungan gula sesuatu produk

– Buat catatan, terutama bagi yang suka makanan manis

– Amalkan minum air masak setiap kali makan, terutama ketika makan tengah hari atau makan malam

– Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula

– Ketika membeli, pilih makanan atau minuman yang mempunyai label ‘kurang manis

– Gantikan snek makanan ringan atau sajian pencuci mulut kuih muih kepada buah-buahan

Khasiat Cekur – Ulam untuk ibu dalam pantang

Cekur

Cekur  ditanam di kebanyakan rumah di kampung-kampung tradisi, sama ada untuk kegunaan perubatan atau masakan.Pokok cekur mempunyai daun yang sederhana lebar, tebal dan berwarna hijau sementara bahagian bawah daunnya berwarna hijau muda. Nama saintifiknya ialah Kaemferia galanga daripada keluarga Zingiberaceae. Bunganya berwarna ungu dan tumbuh di celah-celah pucuk sementara akarnya mengeluarkan umbisi seperti kunyit.

Pokok ini membiak melalui umbisinya. Tradisi penanamannya juga dibuat melalui umbisi dan anak cekur yang masih kecil. Isi cekur berwarna putih dan baunya maung serta pahit. Namun begitu, ia sering dijadikan ulam oleh kaum wanita, terutamanya selepas bersalin.

Selain dimakan begitu saja, amalan merebus pokok dan akarnya juga dilakukan di mana air rebusan ini diminum oleh penggemar herba tradisi ini. Khasiatnya dikatakan boleh mengembalikan tenaga terutama bagi wanita-wanita selepas bersalin dan mereka yang merasa kurang bermaya. Kepada mereka yang mengamalkannya secara berterusan, ulam ini dikatakan boleh mengekalkan keremajaan.Satu lagi khasiatnya ialah ia boleh mencegah keguguran bagi wanita-wanita yang bermasalah. Ia juga boleh menghilangkan gatal tekak dengan mengunyah umbisinya.

Terdapat sejenis lagi cekur yang amat berkhasiat dalam tradisi perubatan Melayu. Cekur ini disebut sebagai cekur merah. Daunnya berwarna perang dan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu, tetapi ada juga spesies yang mengeluarkan bunga berwarna ungu.
Untuk mengenal pasti jenisnya, gosokkan umbisi pokok ini pada empulur pisang. Jika benar ia dari spesies yang dimaksudkan, ia akan meninggalkan kesan kemerah-merahan pada batang pisang berkenaan.

cekur-merah