Meredakan Demam


Petua 1:

Ambil sebuku asam jawa, ramas dengan sedikit air, setelah sapukan air tersebut pada ubun-ubun dan seluruh kepala, biarkan air asam jawa itu kering di kepala. Anda akan dapati demam anda atau anak anda akan mulai reda. Lakukan sehingga benar-benar sembuh.


Petua 2:

Tiga helai daun sirih diramas ke dalam semangkuk air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan dan jaramkan pada kepala, lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.


Petua 3:

Ramaskan  lima helai daun bunga raya, dua helai daun rambutan dan sedikit daun jambu batu hingga keluar lendir dengan sedikit air. Sapukan pada dahi dan rambut anak.


Cara Keempat:

Ramas semangkuk asam jawa dengan beberapa kuntum bunga raya. Selawat sebanyak tiga kali kemudian sapukan ke kepala dan seluruh badan. Biarkan seharian.


Petua 5:

Ramaskan beberapa helai daun pucuk bunga raya dan bawang. Lumurkan keseluruh kepala terutama ubun-ubun kepala. Ulangi beberapa kali.


Petua 6:

Ambil lidah buaya (aloe vera) dicampur dengan daun setawar berserta gula batu sebesar ibu jari. Semua bahan tu ditumbuk hingga benar benar hancur dan lumurkan pada kepala anak, bahagian tengkuk, bawah ketiak, celah kangkang, belakang badan dan tapak kaki.


Petua 7:

Ambil segengam beras pulut dan digoreng tanpa minyak sehingga kekuningan. Ambil sedikit beras pulut yang telah digoreng tadi dan campurkan dengan secawan air panas. Tunggu air tadi suam dan di tapis.Bolehlah beri bayi anda minum air tersebut. Lebihan beras tadi boleh di buat mandi dengan mencampurkannya ke dalam air panas dan di buat mandian. InsyaAllah panas badan bayi anda pasti akan berkurangan.


Petua 8:

Ramas daun durian belanda  dalam air sehingga keluar lendir. Sapukan air durian belanda seluruh badan.


Petua 9:

Ambil pegaga termasuk akarnya, basuh dengan direndam dalam air garam untuk membunuh sebarang bakteria, dan kisar minumlah jusnya. Kalau nak manis tambahkan gula batu. Boleh diminum sejuk atau panas.

Petua 10:

Buah kembang semangkuk dan halwa kundur direndam lebih kurang 1/2 jam ~ 1jam di dalam air mineral/air putih. Airnya diminum untuk meredakan panas badan akibat demam.

Petua 11:

Ambil segenggam daun betik dan tumbuk hingga halus. Kemudian tapis airnya menggunakan sehelai kain bersih. Air pati daun betik itu hendaklah diminum. Insya Allah dalam tempoh 12 jam anda akan melihat perbezaannya.


Herba Berkhasiat Semasa Berpantang

Serai


Kandungan citral di dalam serai amat berkesan dalam membantu proses pencernaan, melegakan kekejangan, ketegangan otot, sengal-sengal dan sakit kepala. Antara lain, tonik yang ada juga boleh merangsang sistem badan. Malah turut membantu anda menurunkan suhu badan.

Kurma


Kajian membuktikan bahawa kurma adalah antara makanan yang paling pantang diproses bagi membekalkan tenaga. Memandangkan selepas bersalin, anda perlu menggabungkan pelbagai jenis makanan untuk menggantikan tenaga dan darah yang berkurangan, jadi kurma adalah pilihan yang sesuai. Selain itu, ia turut kaya dengan unsur zat besi dan kalsium bagi merangsang penghasilan susu ibu.

Lada Hitam


Lada hitam terkenal sebagai ubat dalaman kerana ia berupaya mengeluarkan angin dari perut dan usus serta bermanfaat untuk memanaskan badan. Selain itu, ia juga dapat melancarkan aliran darah, mengatasi kembung perut dan mengubati sakit serta pening kepala.

Bawang Putih


Bawang putih mengandungi tinggi karbohidrat, sedikit protien, serat serta lemak. Selain itu, vitamin dan bahan galian yang penting untuk kesihatan seperti vitamin C, zat besi dan pottasium banyak terkandung di dalamnya. Lantaran itu ia sangat baik untuk menyembuhkan luka. Amalan memakan bawang putih sangat elok diamalkan kerana ia menjadikan anda kekal bertenaga.

Halia


Ia mengandungi atsiri, damar, mineral sineol, vitamin A, B1,C dan protien menjadikannya baik untuk mengubati luka luar dan dalam,merawat kegatalan, merangsang kelenjar pencernaan dan membangkit selera makan. Rasa dan aroma pedasnya pula dapat menghangatkan tubuh dan mengeluarkan peluh dengan berkesan.

Kunyit


Kunyit dapat membersihkan perut, melepaskan lebihan gas pada usus, menghentikan pendarahan, melancarkan aliran darah dan mencegah pengumpulan darah.

Lengkuas


Lengkuas berkhasiat dalam membantu membersihkan darah, menghalang gangguan perut dan merangsang otot.

Khasiat Halia

Halia

Pengenalan

Halia merupakan salah satu jenis rempah ratus yang bukan sahaja banyak digunakan dalam masakan timur dan barat malah antara rempah yang terpenting diperniagakan di dunia. Tanaman ini berasal dari Asia Tenggara dan sekarang ditanam secara meluas di seluruh dunia. Antara negara yang banyak mengeluarkan halia ialah India, China, Nigeria, Australia dan Thailand. Penanaman halia di Malaysia boleh dikatakan masih diusahakan secara kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau selingan bersama tanaman saka seperti nanas, getah dan kelapa sawit.

Nama Botani :Zingiber Officinale Ross

Nama lain :Ginger (Inggeris), Jahe, Aliah, Jae, Lia (Indonesia)Kinkh, Khing-daen (Thailand)

?Halia Muda

Khasiat dan Kegunaan

Halia digunakan sebagai rempah perasa dan ubatan. Tanaman ini tergolong dalam kategori ubat- ubatan tradisional Melayu yang dikatakan dapat membantu menghadamkan makanan, menguatkan tenaga batin, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubat-ubatan dari halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti deman, batuk, migrin, sakit gigi, sakit tulang, sengugut dan sesak dada. Halia juga bersifat karminatif, stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat. Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan. Biasanya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia manakala dalam masakan pula dalam bentuk halia segar, halia kering dan halia bergula. Halia juga boleh diproses sebagai serbuk halia, halia jeruk dan bahan perasa untuk pelbagai makanan seperti sos dan bakeri.

sumber: Mardi

 

Khasiat Cekur – Ulam untuk ibu dalam pantang

Cekur

Cekur  ditanam di kebanyakan rumah di kampung-kampung tradisi, sama ada untuk kegunaan perubatan atau masakan.Pokok cekur mempunyai daun yang sederhana lebar, tebal dan berwarna hijau sementara bahagian bawah daunnya berwarna hijau muda. Nama saintifiknya ialah Kaemferia galanga daripada keluarga Zingiberaceae. Bunganya berwarna ungu dan tumbuh di celah-celah pucuk sementara akarnya mengeluarkan umbisi seperti kunyit.

Pokok ini membiak melalui umbisinya. Tradisi penanamannya juga dibuat melalui umbisi dan anak cekur yang masih kecil. Isi cekur berwarna putih dan baunya maung serta pahit. Namun begitu, ia sering dijadikan ulam oleh kaum wanita, terutamanya selepas bersalin.

Selain dimakan begitu saja, amalan merebus pokok dan akarnya juga dilakukan di mana air rebusan ini diminum oleh penggemar herba tradisi ini. Khasiatnya dikatakan boleh mengembalikan tenaga terutama bagi wanita-wanita selepas bersalin dan mereka yang merasa kurang bermaya. Kepada mereka yang mengamalkannya secara berterusan, ulam ini dikatakan boleh mengekalkan keremajaan.Satu lagi khasiatnya ialah ia boleh mencegah keguguran bagi wanita-wanita yang bermasalah. Ia juga boleh menghilangkan gatal tekak dengan mengunyah umbisinya.

Terdapat sejenis lagi cekur yang amat berkhasiat dalam tradisi perubatan Melayu. Cekur ini disebut sebagai cekur merah. Daunnya berwarna perang dan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu, tetapi ada juga spesies yang mengeluarkan bunga berwarna ungu.
Untuk mengenal pasti jenisnya, gosokkan umbisi pokok ini pada empulur pisang. Jika benar ia dari spesies yang dimaksudkan, ia akan meninggalkan kesan kemerah-merahan pada batang pisang berkenaan.

cekur-merah

Khasiat Bawang Putih

Bawang Putih

Bawang putih mempunyai nilai yang amat berguna pada kesihatan. Ciri-ciri penyembuhan dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan kepada tubuh badan di samping membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi (hypertension).

Minyak asas serta komponen lain yang dimilikinya mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.

Khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan boleh didapati dengan mudah kerana bawang putih sememangnya digunakan sebagai penyedap masakan. Bawang putih mentah dihiris untuk masakan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran atau salad. Selain itu ia juga dijeruk di dalam minyak untuk menghasilkan rasanya yang lazat.

Bawang putih juga boleh dijadikan ubat bagi penyakit sakit saraf, sakit sendi, kutil dan penyakit kulit lain.

Bawang putih segar yang dicampurkan dengan madu dikatakan dapat membantu menyembuhkan selesema, suara yang serak dan radang pada kerongkong.

Cara memakannya ialah dengan menekan atau gunakan mesin untuk menghancurkannya, kemudian campurkan dengan satu sudu madu. Kacau dan biarkan ia ditempat yang sejuk selama satu jam untuk sebatikan madu dan minyak bawang tersebut. Jika ada tanda-tanda untuk dijangkiti penyakit selsema, ambil satu atau dua sudu untuk diminum. Ulangi setiap jam berikutnya.

Ia juga boleh digunakan apabila selesema teruk dan amat berkesan untuk melegakan sesak nafas dan batuk.

Bawang putih juga dikatakan mampu memberi kesan terapeutik. Sulfur yang terdapat pada minyak bawang putih boleh membantu menjadi pembasmi atau pembunuh kuman dalam badan.

Jika bawang putih dijadikan makanan, ia akan diserap ke dalam aliran darah kemudiannya tersebar melalui pelbagai organ seperti bahagian kulit, usus, paru-paru dan sistem perkumuhan air kencing

Semua organ-organ tersebut mendapat manfaat penyembuhan daripada khasiat bawang putih.

Komponen-komponen

Bawang putih diperkaya dengan minyak asas dan agen utamanya yang aktif adalah alisin. Sebatian ini bertanggungjawab menghasilkan bau bawang putih dan berperanan sebagai agen membantu penyembuh penyakit. Sementara itu, bawang putih juga mengandungi kalsium, selenium, kalium dan zink.

Penggunaan bawang putih juga dapat membantu menurunkan tahap kolestrol dalam darah.

Bawang putih juga dikatakan mampu membantu untuk mencegah pertambahan plak di dalam arteri koronari.

Selain itu ia juga membantu mengelakkan pembentukan darah beku di dalam saluran darah. Kedua-duanya dapat melindungi tubuh daripada serangan sakit jantung dan strok.

Tip tambahan

Apabila anda memakan banyak bawang putih ia akan memberikan anda bau badan dan nafas yang tidak menyenangkan. Ini disebabkan oleh kandungan minyak yang terdapat padanya telah dikumuh melalui sistem pernafasan dan kulit. Jadi, bagi mengurangkan kesan yang tidak enak ini, kunyahlah daun parsli, taim atau pudina dengan segera selepas memakan bawang putih.

Untuk gangguan usus

Kualiti yang terdapat pada bawang putih juga digunakan untuk membantu merawat ulser. Untuk lebih berkesan makanlah tujuh hingga sembilan ulas bawang putih sepanjang hari mengikut cita rasa masing-masing.

Sama ada memakannya dengan susu atau ditaburkan di atas roti. Namun bagi ibu yang mengandung atau masih menyusukan anak tidak digalakkan untuk mengambilnya.

Untuk mengelakkan jangkitan

Sangat bagus untuk penyakit kaki makan air, ketuat, jangkitan-jangkitan kulit dan jerawat. Letakkan bawang putih segar yang telah dilecek ke dalam sekeping kain kasa dan sapukan pada kawasan yang terlibat.

Tip untuk dapur anda

lApabila membeli bawang putih pilihlah yang masih kukuh. Seharusnya kulit luarnya tegang, tidak pecah dan berwarna putih atau ungu.

lElakkan membeli bawang putih yang lembut dan lembap.

Khasiat Pisang

pisang

Pisang pada mulanya adalah sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara, kini berjaya dikomersialkan. Buah-buahan berkenaan bukan saja mengenyangkan malah boleh mengatasi masalah sembelit. Selain mudah didapati dan murah di pasaran, pisang juga antara buah-buahan yang berpotensi membekalkan serat, vitamin A serta menjadi makanan ruji masyarakat Afrika.

Pelbagai jenis masakan boleh dihidangkan melalui pisang dengan cara merebus, menggoreng atau dibuat pengat, lepat, koleh serta jemput-jemput. Bunyinya sangat sedap dan sudah pasti enak!. Tetapi awas! Sungguhpun pisang sedap dimakan dan baik untuk kesihatan serta membantu merawat penyakit tertentu, ia bagaimanapun tidak elok dimakan oleh pesakit kencing manis. Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi.

Tahukah anda, ada lebih 20 jenis pisang di dunia. Tetapi pisang nipah, nangka, abu, mas, tanduk raja, embun biasa didengari. Namun pisang talang, kapas, awak, susu, berangan, kari, embun, kelat keling, rastali, talang, khaki, kapas, lidi, lemak manis kurang biasa kita dengar, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.

Ketua Diatetik dan Pemakanan Khasiat, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad, berkata seperti yang kita tahu, semua pisang boleh dimakan, bagaimanapun ada berapa jenis pisang yang tidak boleh dimakan iaitu pisang pisang hutan kerana banyak biji atau pisang muda.

“Ada pisang yang dimakan mentah dan ada juga tidak boleh dimakan mentah antaranya pisang tanduk, nangka, abu, lidi dan kapas,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemakanan pisang memberikan banyak khasiat kepada tubuh badan kerana secara keseluruhannya ia mengandungi tenaga, vitamin A, serat, vitamin C dan Kalsium.

“Sebagai contoh, 2 biji pisang emas mengandungi 100 kalori, 73gram (g) air, 1.4g protein, 23 g karbohidrat, 1.7 g serat, 380 mikro gram (mg) karoten (pre vitamin A), 63 RE vitamin A, 8.3 mg vitamin C dan 342 mg kalium,” katanya.

Khasiat pisang sudah tentu boleh membekalkan tenaga. Pisang mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semula jadi iaitu sukrosa , fruktosa dan glukosa. Gula semula jadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pula pisang mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat. Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit. Seribu satu khasiat pisang kurniaan Allah kepada manusia. Tidak hairanlah pisang amat popular di kalangan atlet kerana ia membekalkan tenaga yang cukup ketika mereka beraksi dalam apa saja pertandingan sukan.

Pisang adalah buah yang paling digemari penduduk seluruh dunia. Ia juga mampu menawarkan penyakit dan boleh membantu dalam kesihatan manusia.

Kegunaan Daun Pisang

daun pisang

  • Digunakan sebagai alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum apabila terkena makanan yang panas.
  • Digunakan sebagai pelindung hujan
  • Pembalut kuih atau masakan seperti ikan bakar atau kuih lepat.

Kegunaan Batang Pisang
batang pisang

  • Digunakan untuk membuat rakit.
  • Mempunyai gentian yang banyak dan boleh diproses secara perdagangan untuk membuat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.

Jantung pisang
Jantung pisang
Dibuat sebagai ulam selepas dicelur.

Khasiat pisang dari sudut kesihatan

  • Darah tinggi dan strok – pisang membantu menurunkan tekanan darah tinggi kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.
  • Kolestrol – pisang rendah dari segi kalori lemak dan sodium yang membantu merendah kolestrol.
  • Cirit-birit – potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.
  • Anaemia – anaemia ialah penyakit kurang darah. Oleh kerana pisang kaya dengan zat besi, ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di dalam darah.
  • Kemurungan – orang yang sedang murung lebih cepat ceria apabila makan pisang. Ini kerana kandungan sejenis protein membantu kita menjadi tenang.
  • Pening-pening – cara paling cepat merawat rasa pening-pening ialah dengan meminum minuman susu pisang kocak (banana milkshake) yang dicampur madu. Minuman ini bukan sahaja merawat malah sedap.

Info Tambahan

  • Pisang yang paling sesuai dimakan untuk menjaga kesihatan ialah pisang yang masih ada warna hijau di hujungnya.
  • Disebabkan permintaan dunia terhadap pisang terlalu tinggi, banyak hutan rimba telah diteroka dan dibersihkan untuk dibuka ladang penanaman pisang.
  • Jika anda digigit nyamuk, cubalah gosokkan bahagian dalam kulit pisang pada tempat yang digigit.
  • Pisang boleh diberi pada bayi seawal usia tiga bulan sebagai makanan pejal kerana mudah dihadam.

Gizi dalam 100 gram pisang mengandungi

  • 1.2 gm protein
  • 0.3 gm lemak
  • 17 mg kalsium
  • 78 mg karotin
  • 88 mg kalium
  • 27.2 gm karbohidrat
  • 0.4 gm fiber
  • 116 kcal tenaga.

Oleh Hidayah Mohammad

Khasiat Biji Sawi

biji sawi

Biji sawi yang sering dicampurkan bersama rempah ratus ke dalam masakan sebenarnya memiliki kelebihan yang tidak diduga jika dibandingkan dengan kekerdilan saiz bijian itu.

Menurut Imam Abu Hanifah, biji sawi boleh menyembuhkan penyakit serta menghilangkan kesan penyakit. Kenyataan ini diceritakan oleh Rasulullah SAW. Hadis daripada Ibnu Abbas daripada Rasulullah SAW sesungguhnya baginda bersabda,” Apakah dua perkara yang dapat menyembuhkan sesuatu? lalu baginda menjawabnya sendiri: biji sawi dan sifat sabar”. Wujud percanggahan di antara ulama tentang kesahihan hadis ini, ramai yang mengatakan ia sebuah hadis dhaif. Namun begitu Ibnu Taiyim seorang ulama yang pakar perubatan telah menghuraikan khasiat-khasiatnya di dalam kitab Ath-Thibbun Nabawi :-

01. Memanaskan tubuh badan
02. Melawaskan perut dan melicinkan salur tahi perut
03. Mengeluarkan cacing daripada perut
04. Mengelakkan bengkak limpa
05. Mengikis kudis bernanah
06. Meransang nafsu syahwat
07. Mengelakkan sesak nafas
08. Menambah selera makan
09. Mengikis kekotoran dan kesat pada limpa
10. Membersihkan paru-paru
11. Melancarkan pengaliran darah haid
12. Mengeluarkan peluh daripada liang peluh yang tersekat
13. Menghilangkan rasa lenguh atau bisa pada pangkal peha
14. Melapangkan paru-paru dan daripada lendir yang melekat
15. Jika diminum dengan campuran biji sawi yang digiling, ia dapat membantu menyembuhkan penyakit sopak
16. Jika disalut dengan madu, seterusnya ia dimakan dapat meredakan bengkak pada limpa
17. Jika dicampur dengan air dan diminum ia dapat memasakkan sebiji bisul yang tumbuh

Source: Halaqah

Khasiat strawberi

strawberi

Strawberi bukan sahaja cantik buahnya, tapi banyak juga khasiat. Aneka makanan dan minuman berasaskan strawberi dihasilkan.

Strawberi sejenis buah herba yang rata-ratanya memiliki 200 biji kecil. Ada sekitar 700 jenis strawberi.

Salah satu jenis spesiesnya bernama Fragaria Chiloensis L. Jenis ini yang banyak terdapat di negara Amerika, Eropah dan Asia.

Warna merah pada strawberi masak ada khasiatnya. Warna merah itu kerana ia kaya pigmen warna antosianin dan mengandungi agen antioksidan yang tinggi.

Tujuh zat antioksidan yang ada pada strawberi lebih tinggi dibandingkan buah atau sayuran lain dan ia lebih efektif mencegah proses oksidasi pada tubuh.

Oksidan ialah proses hancurnya jaringan tubuh kerana radikal bebas. Oksidan juga bertanggungjawab pada proses penuaan.

Strawberi yang kaya vitamin C sangat bermanfaat bagi pertumbuhan kanak-kanak. Kandungan gulanya sedikit dan sesuai untuk diet bagi penghidap diabetes.

Strawberi yang dimakan teratur dapat menghaluskan kulit dan membuat warna kulit terlihat lebih cerah dan bersih. Khasiat yang terkenal lainnya adalah anti kedut.

Strawberi juga ada khasiat yang boleh memutihkan atau membersihkan permukaan gigi serta kuat melawan radang sendi.

Daun strawberi juga berkhasiat kerana memiliki zat astringent.

Tiga hingga empat cangkir air hasil rebusan daun strawberi sehari, dapat menghentikan cirit-birit.

Keperluan harian vitamin C orang dewasa dapat dicukupi oleh lapan buah strawberi (98mg). Keperluan serat juga sekali gus boleh dipenuhi.

Petua penyimpanan

Hati-hati dalam menyimpan buah ini, kerana strawberi yang
sudah mulai busuk dapat menular dengan sangat cepat ke strawberi lain yang disimpan bersama.

Strawberi biasanya dapat tahan empat hari tetapi di dalam peti ais, kalau kena caranya, boleh tahan sehingga sebulan.

Atur buah secara satu-satu terpisah, lalu bekukan. Setelah beku, siram dengan air dan masukkan ke dalam plastik, dan dibekukan kembali.

Khasiat Buah Naga

buah naga

Warnanya yang merah menyala dengan sulur batangnya tumbuh menjalar seperti naga merupakan buah-buahan yang semakin diminati ditanam di negara ini.

Buah yang berasal dari Mexico dan banyak ditanam di negara seperti Vietnam dan Afrika Selatan itu telah mendapat tempat di sajian selera masyarakat di sini.

Buah naga atau nama latinnya, Hylocereus Undatus tergolong dalam keluarga Cactacese atau kaktus, mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran yang baik. Buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu jenis isi putih (Hylocereus Undatus), merah (Hylocereus Polyrhizus dan kuning (Hylocereus Megalanthus).

Berat buah antara 200 gram hingga 800 gram dan mempunyai khasiat yang banyak malah diiktirafkan sebagai buah 1,001 khasiat.

Buah naga ini dipercayai boleh menurunkan kadar kolesterol, mengimbangi kadar gula dalam darah, mencegah kanser, mencegah pendarahan, mengelak keputihan, menguatkan fungsi ginjal dan tulang, menguatkan minda, meningkatkan ketajaman mata serta sebagai bahan kosmetik.

Selain itu, pokok yang boleh hidup selama 15 tahun ini juga boleh membantu mengurangkan masalah sembelit, darah tinggi, menghaluskan kulit wajah dan sesuai sebagai pemakanan untuk pesakit diabetis.

Malah, buah pelbagai khasiat ini juga mampu memanjangkan jangka hayat produk bakeri seperti roti, kek dan mufin yang kebiasaannya disediakan melalui adunan beberapa bahan mentah seperti mentega, tepung, telur, serbuk penaik, yis dan juga gula.

Justeru itu, sekumpulan chef dari Hotel Eastin, Petaling Jaya dengan diketuai oleh Senior Sous Chef, Mohd. Azli Lahasi, Chef Mohd. Sori Mohd. Zan, Chef Bakri Abu Bakar, Chef Zaidi Muhammad, Chef Adam Lee dan Zairyah Ibrahim (pelatih dari Kolej Damansara Utama) telah mencipta dan memperkenalkan enam jenis masakan yang berasaskan buah naga ini.

Masakan merangkumi pembuka selera, sup dan makanan utama daripada buah naga diperkenalkan bagi mempromosikan lagi khasiat yang terdapat di dalamnya, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan petani yang mengusahakan tanaman ini. Melalui promosi berterusan masyarakat boleh menyedari kehadiran dan penggunaan buah ini, selain boleh dimakan mentah dan dibuat jus.

Menurut Chef Mohd. Azli, khasiat yang pelbagai terkandung di dalamnya yang menyebabkan beliau dan rakan-rakannya memilih untuk mempromosikan buah ini.

‘‘Ia mengandungi vitamin yang baik untuk kesihatan, selain bijinya yang boleh membantu pelawasan dan kaya dengan fiber.

‘‘Sebanyak enam juadah berasaskan buah naga menjadi sajian pelanggan sekiranya berkunjung ke sini,’’ katanya.

Tambah beliau, masakan yang diperkenalkan itu ialah ayam gulung panggang bersama buah naga Ambrosia, peha itik panggang sumbat bersama buah naga dan pic, kombinasi daging, kambing dan makanan laut bersama salsa buah-buahan, panacotta dihidang bersama buah naga, buah naga bersama air gula kayu manis dan udang koktel bersama mangga dengan buah naga.

‘‘Dalam setiap masakan yang diperkenalkan itu, buah naga bertindak mengimbangi antara rasa masam dan manis sesuatu masakan tersebut,’’ katanya.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Khasiat Daun Pegaga

daun pegaga

Bagi yang mahukan wajah sentiasa dalam keadaan muda, fikiran sentiasa tenang dan meningkatkan daya ingatan anda tidak perlu bersusah payah mencari ramuan dan herba lain yang mungkin ada antaranya mengandungi bahan kimia.

Di sebalik bentuknya yang kecil tersimpan rahsia besar membuktikan pegaga sungguhpun kecil namun tumbuhan ini banyak khasiatnya.

Rahsia dan khasiatnya terbukti sejak berkurun untuk dijadikan penawar pelbagai penyakit.

Pun begitu rahsia inilah yang membuka minat mendalam kepada pengamal herba untuk menjadikan pegaga sebagai tanaman pilihan bukan sahaja untuk amalan memakannya sebagai ulam istimewa malah penawar dan mencegah penyakit.

Che Som Ahmad, 68, dari Kampung Bukit Palong, Bongor Baling menjadikan amalan memakan daun pegaga telah menjadi amalan rutin hidupnya dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Bagi Che Som tumbuhan merayap dan mudah hidup ini membawa keistimewaan pada dirinya kerana sejak zaman muda mengamalkan petua makan daun pegaga sudah cukup sebati dalam dirinya menyebabkan dia lantas menanam tumbuhan itu.

Biarpun tanaman pegaganya ditanam di atas tanah sawah terbiar, ia tidaklah menjangkau sayup mata memandang namun batas-batas tanaman tumbuhan ini hidup subur.

Di sebalik deretan batas tanaman pegaga milik wanita ini dia tetap puas tanaman yang dianggap tidak komersial ini sekurang-kurangnya mampu membuka persepsi baru bahawa tanaman ini tinggi nilai perubatan dan kesihatan.

Untungnya tanaman merayap hasil usaha ibu kepada tujuh anak ini yang setiap baris tanaman kira-kira lima meter panjangnya sudah cukup menggambarkan usaha wanita ini telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 petak kawasan tanaman pegaga milik Che Som yang menghijau itu telah memberikan peluang kepadanya menambah pendapatan keluarga.

Menurut Che Som setiap hari dia memetik daun pegaga bagi dijual kepada peraih dan penduduk kampung yang datang membeli dari kebunnya.

Pegaga milik Che Som turut dijual di pasar malam dan minggu didaerah ini dan sekitar.

Katanya, kepada peraih dia menjualnya dalam bentuk ikat dengan harga antara lima puluh sen ehingga RM1 seikat manakala bagi penduduk terpulang kepada mereka malah adakalanya dia enggan mengambil duit.

“Tanaman ini mudah dijaga dan cepat membiak dan cepat matang,” katanya.

Tambahnya, sekalipun serangan serangga kecil dan kekurangan air menyebabkan daun pegaga rosak dan menjadi kekuningan namun ia tidaklah sesukar tanaman lain yang memerlukan perhatian.

Jelas Che Som, kebanyakan spesies pegaga boleh tumbuh di kawasan terbuka dan ada juga yang memerlukan keadaan lindungan yang sederhana.

Namun menurut wanita ini, tumbuhan pegaga tumbuh meliar di kawasan lembap dan berdekatan air.

Tambahnya, menanam pegaga tidaklah sesukar tanaman lain kerana selepas dipetik dalam tempoh beberapa hari ia akan tumbuh semula dan bersilih ganti menyebabkan tanaman ini tidak memerlukan kawasan yang besar untuk menanamnya.

Namun di sebalik usaha penanaman pegaga ini Che Som berkata nilai dan khasiatnya yang tinggi ialah boleh mengekalkan pengamalnya awet muda.

”Amalan memakan daun pegaga boleh mengekalkan awet muda dan masalah kegemukan,” ujarnya tersenyum.

Pegaga atau nama saintifiknya, Centella asiatica berasal dari kawasan Asia iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar dan juga Afrika Timur.

Juga dikenali sebagai daun kaki kuda dari keluarga Umbelliferae di kalangan masyarakat tempatan tanaman ini begitu popular kepada tiga kaum utama di negara ini.

Bagi kaum Melayu ia dimakan secara segar sebagai ulam dan juga sering dijadikan kerabu dengan campuran dengan daun herba lain.

Bagi kaum Cina pegaga dijadikan minuman penyejuk badan manakala untuk kaum India digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.

Masyarakat India juga menjadikan pegaga sebagai sumber perubatan untuk penawar racun, anti kanser,,ubat cirit birit dan dijadikan tonik mengubati penyakit kulit dan saraf.

Di Thailand pegaga di kenali Buabok telah menjadi satu produk yang dibotolkan secara jus diminum sejuk menjadikan minuman pegaga asli begitu popular di negara gajah putih itu.

Sejarah perubatan Ayur Veda menunjukkan pegaga sebagai sumber paling baik dan menyegarkan untuk sel-sel otak dan otot manusia.

Daun pegaga berbentuk otak atau ginjal dengan lebar antara tiga hingga lima sentimeter (sm) dan panjang tangkai boleh mencapai sehingga 15 sentimeter mengikut kultivar, kesuburan dan kepadatan tanaman.

Bunganya dalam jambak antara tiga hingga empat kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu.

Menjelaskan mengenai jenis pegaga Che Som berkata terdapat sekurang-kurangnya lima jenis yang terdapat dan tumbuh meliar di negara ini iaitu pegaga cina, pegaga daun lebar, pegaga gajah, pegaga salad, dan renek.

Istimewanya tumbuhan menghijau ini turut dijadikan penawar dalam menurunkan tekanan darah, melawaskan kencing, penyembuhan luka, ulser, masalah kulit dan penawar alahan.

Tumbuhan ini kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi dan vitamin A dan C.

Namun di sebalik usianya itu Che Som menyimpan hasrat supaya usahanya itu memberi semangat terutama kepada petani muda menceburi penanaman pegaga secara komersial.

Memang tepat saranan Che Som kerana sejak kebelakangan ini industri kecantikan tempatan turut menjadikan daun pegaga sebagai ramuan.

Dalam bidang kecantikan khasiat daun pegaga terbukti mampu menjadi bahan tambahan kepada anti selulit dan anti kedutan untuk mata, muka dan menambah ketegangan kulit dan akhirnya membentuk kulit baru.

« Older entries