Lantaran Khilafnya Lintasan Hati…

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela (selepas wafatku) terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah wanita”
(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Nur Aliya….merupakan seorang gadis yang berpendidikan sekular. Ilmunya tentang agama terlalu dangkal. Ilmunya tentang Islam hanya terbatas pada mata pelajaran Pendidikan Islam lantaran dirinya merupakan pelajar aliran sains. Gred A untuk mata pelajaran Pendidikan Islam yang didapati dalam saban peperiksaan lantaran idamnya untuk berjaya dalam peperiksan semata bukan sebagai panduan hidupnya. Di atas kejahilannya memahami hadith ini Allah telah menguji imannya bertahun-tahun. Nur Aliya….seorang gadis biasa dan sederhana. Rupa parasnya tidaklah jelita sehingga mampu menggoyah iman seorang lelaki.Bukanlah juga wanita solehah dan berakhlak yang mulia menjadi dambaan kalbu para lelaki..Hakikatnya dirinya hanya wanita biasa di alaf baru ini yang tidak pernah lari dari kekhilafan. Nur Aliya… dia membesar sepertimana kebanyakan wanita di zaman metarialistik ini. Sekolah harian kerajaan adalah tempatnya memenuhkan ilmu di dada sebagai bekal mengharungi hidup lantaran ibu bapanya merasakan ilmu agama yang dibekalkan di sekolah harian kerajaan cukup untuk menjadikannya wanita yang solehah dan berpendidikan tinggi. Tidak perlu ke sekolah agama seperti yang kadangkala dianggap sesetengah ibu bapa tiada masa depan dengan bekalan ilmu agama.

Cuma Nur Aliya bukan seorang yang gemar bergaul mesra dengan lelaki. Perbicaraannya dengan lelaki hanya terbatas di dalam kelas dan berkisar tentang pelajaran sahaja..Sehinggalah satu ketika di satu daerah di mana tempat dia melanjutkan pelajaran sebagai persediaan ke universiti, Allah telah memilihnya di antara sekian banyak manusia untuk menerima hidayahNya. Allah telah memimpin hatinya agar tertambat pada musolla kolej pengajiannya untuk solat berjemaah setiap waktu solat. Dirinya ibarat seorang insan yang kekosongan yang amat dahagakan ilmu agama lantaran terlalu sedikit ilmu mengenai Islam di dadanya..Tiada sesiapa di sisinya ketika itu yang diharap dapat menuntun tangannya untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Dia benar-benar mengharapkan pertolongan Allah semata. Nur Aliya…selama ini Al Quran yang dikhatamnya sejak berusia sebelas tahun ditinggalkan dan hanya dibaca apabila tibanya bulan Ramadhan. Maka bagaimanakah bacaan Al Quran orang yang telah meninggalkan Al Quran? Apabila seorang insan meninggalkan Al Quran, pasti Al Quran juga akan meninggalkannya…

Dengan segenap daya dikerah untuk cuba kembali membaca Al Quran yang telah lama tersisih dari sanubarinya. Dia menangis tersedu-sedu lantaran bacaannya tersekat-sekat umpama baru saja mengenal huruf hijaiyyah. Setiap satu huruf yang dilantunkan disulami dengan rembesan mutiara jernih di pipi lantaran terasa payahnya. Mutiara jernihnya tak henti bertamu membasahi pipi lantaran keinsafan atas kealpaanya selama ini. Dia mengharap bantuan hanya pada Allah. Akhirnya, dengan pertolongan Allah dia berjaya melancarkan kembali bacaan Al Quran, walaupun bacaannya pada masa itu tajwidnya lintang pukang. Tapi satu kenikmatan yang amat buat dirinya apabila berjaya juga melancarkan kembali bacaan kalam Allah  semampunya. Disitulah dia mengenali cinta Allah. Tiap kali dia mengharapkan Allah, Allah pasti ada. Janji Allah itu benar…Walau tiada siapa disampingnya tapi ada Allah yang membantunya. Sejak itu,  dia melazimi sedikit demi sedikit dengan Al Quran. Kecintaannya pada Al Quran mula tumbuh.Kecintaannya kepada ilmu agama juga semakin semarak di hatinya. Segalanya dilakukan sendiri dengan bantuan Allah. Dia cuba menyembunyikan apa jua perubahan dirinya dari teman-temannya agar tidak tumbuh riak di hatinya. Baginya apa yang dilakukan demi meraih cinta ilahi dan merasai kemanisan iman. Dia masih lagi gadis biasa, gemar berbaju kurung dan bertudung bawal. Tiada apa yang istimewa tentangnya..

Malamnya pula mula diisi dengan taqarrub kepada Allah dengan solat tahajjud dan zikirnya.Dia cuba sedaya upayanya melazimi solat tahajjud. Oleh kerana tidak mahu teman sebiliknya mengetahui apa yang diperbuat, dia tidak bertahajjud di asrama sebaliknya di musolla.  Saat tiada sesiapapun di musolla, dengan kekuatan  yang Allah diberikan  padanya, dia menapak sendirian ke musolla untuk bertahajjud..Tidak sesekali dibiarkan musolla itu disimbahi cahaya dari lampu kalimantang. Taqarrubnya pada RabbNya dalam cahaya suram agar tiada siapa tahu dia ada di dalamnya. Sehinggalah satu ketika semasa dia membaca hadith ini di dalam sebuah buku agama yang dipinjamnya di perpustakaan..

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela (selepas wafatku) terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah wanita”

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Terlintas dihatinya ” Aku mungkin takkan menjadi fitnah kepada orang lelaki kerana aku bukanlah orang yang cantik sampai lelaki-lelaki tergila-gilakan aku. Manalah ada lelaki yang hendakkanku, perangaiku pula bukanlah baik sangat”. Hanya kerana lintasan hatinya itu Allah telah menguji imannya bertahun-tahun. Tanpa dia menyedari ada mata-mata lelaki yang selama ini memerhatikan gerak gerinya. Sejak itu, dia menjadi perhatian lelaki. Dalam sujudnya dia menangis semahunya. ” Ya Allah, aku mencari cintaMu bukan cinta lelaki ini. Jauhkan aku dari mereka ini. Ampunilah aku atas kesilapan lintasan hatiku”. Sejak itu dia meneruskan tahajjudnya di asrama. Bermulalah ujian Allah ke atasnya. Cintanya ditagih beberapa lelaki, baik di kelasnya mahupun di luar kelas. Mata lelaki-lelaki itu sering tertancap padanya dan memerhatikan setiap gerak gerinya. Dia hanya mampu menangis dan menangis dan memohon agar diberi kekuatan iman untuk menghadapi ujian Allah ini. Setiap kali lelaki-lelaki itu ingin menghampirinya dan berbicara dengannya, lekas-lekas dia melarikan diri. Hidupnya tidak pernah tenang sejak itu dengan gangguan lelaki yang menagih cintanya. Dia mengharap cinta Allah. Dia takut jika dia menerima cinta mereka dia akan jauh dari Allah dan melakukan kemaksiatan kepada Allah seperti kebanyakkan temannya yang “bercouple”.

Suatu petang teman akrabnya Najwa bertanya kepada Nur Aliya ” Aliya, dah lama sebenarnya aku nak tanya kau tentang satu hal ni, aku kan selalu dengan kau..aku harap kau tak marah”. ” Apa dia Najwa, aku ada buat salah pada kau ke?” tanya Nur Aliya takut andainya ada perbuatannya menyakiti karibnya itu. ” Hmm….begini, aku dah lama perhatikan Farhan, ustaz kelas kita tu selalu memerhatikan kau. Bila kau masuk kelas wajahnya bersinar dan senyumnya melebar..Aku rasa dia ada hati pada kau Aliya. Aku rasa kau pun tahu tentang tu sebab aku selalu perhatikan kau selalu mengelak dari bertembung dengannnya”, tanya Najwa ingin tahu..” Kau ni memandai je..kalau orang tahu tak ke malu aku dikata minah perasan. Manalah layak aku dengan dia tu, ramai lagi perempuan kat kolej ni yang lebih baik dari aku..Kau tengoklah aku ni biasa je kan”, jawab Nur Aliya cuba menyangkal kata Najwa.

“Aliya…jangan berdalih…kenapa kau lari dari dia. Aku tengok orangnya warak, dia amat menjaga pergaulan dengan perempuan malahan kaki surau pulak tu..” ujar Najwa inginkan kepastian. Nur Aliya terdiam seketika mencari kata. Akhirnya dia bersuara ” Najwa, aku harap kau simpan rahsia ni. Sebenarnya, Hanifah kawan baik Farhan pernah memberi kiasan pada aku tentang perkara tu. Masa tu aku orang paling awal masuk ke kelas. Tak lama lepas tu, Hanifah dan Farhan masuk. Hanifah berkata pada aku ” Sekarang ni ada orang mandi tak basah, makan tak lalu, tidur tak lena sambil matanya melirik pada Farhan”. ” Habis tu apa yang kau cakap?” tanya Najwa tak sabar. ” La excited pulak dia, Farhan tersenyum je masa tu. Aku cakap ” Dia tak mandi ,tak makan, tak tidur kot, tu la yang mandi tak basah makan tak kenyang tidur tak lena”. Perbualan kami terhenti kat situ sebab ada teman sekelas yang lain masuk ke kelas”. “Aku malaslah nak cintan-cintan ni..aku datang sini untuk belajar bukan untuk bercinta” jawab Nur Aliya menamatkan bicaranya.

“Kau tak rasa rugi ke orang sebaik tu?” tanya Najwa masih tidak berpuas hati. “Aku ingatkan pegawai penyiasat ni dah habis modal dah”, senyum Nur Aliya. ” Nak rugi apanya, andai kata dia jodoh aku, aku lari jauh manapun  tetap jodoh aku dengan dia. Tapi kalau jodoh aku memang bukan dengan dia, aku bercinta sakan bertahun-tahun pun tetap aku tak kahwin dengan dia. Daripada aku menghimpun dosa kerana cinta baik aku tolak awal-awal,” ujar Nur Aliya memberi penjelasan agar temannya itu faham.

Dia mengharapkan ujian itu akan berakhir sebaik sahaja dia melangkah ke universiti kerana menyangka tiada yang mengenalinya lantaran luasnya universiti itu. Ternyata telahannya silap. Allah tetap mengujinya. Hari pertama di universiti lagi Allah telah membuka pintu hati seorang lelaki yang juga Fasilitator minggu suai kenal untuk terpaut dengannya. Kebetulan waktu itu lelaki itu menawarkan pertolongan  kepada ibu bapanya untuk menghantar beg serta keperluannya ke asrama barunya sementara dia telah terlebih dulu membawa barang yang lain ke asrama..Nur Aliya hanya mengucapkan terima kasih atas pertolongan lelaki itu. Wajah lelaki itu pun hanya sekilas dipandangnya tatkala mengucapkan terima kasih..Tetapi sepanjang minggu suaikenal itu, dia merasakan ada seorang lelaki yang sentiasa memerhatikannya..Lama baru dia tersedar lelaki berkopiah itulah yang telah menolongnya tempoh hari. Rintihnya sendiri di dalam hati ” Ya Allah kusangkakan segalanya telah berakhir, jauhkan aku dari godaan cinta lelaki, Ya Allah berilah aku kekuatan untuk terus berada di jalanMu dan pimpinlah aku dalam menghadapi ujianMu ini”

Segalanya berlarutan dengan lelaki-lelaki lain pula termasuklah di teman sekuliah di fakultinya selama bertahun-tahun. Hidupnya sehari-hari tidak lagi setenang dulu baik di asrama mahupun di fakulti. Hidupnya umpama pelarian, melarikan diri dari lelaki-lelaki yang menagih cintanya. Berbagai ragam lelaki yang memburunya. Ada yang warak dan berkopiah, ada anak orang tokoh agama, ada lelaki kaya, ada lelaki biasa, ada yang kacak dan ada juga penggerak dakwah. Nur Aliya…memanjatkan doa kepada Ilahi agar diberi kekuatan untuk menepis segala dugaan ini demi cintanya pada Ilahi dan takutnya jika dirinya terjerumus ke lembah maksiat. Baginya cintanya hanya diserahkan kepada seorang lelaki iaitu lelaki yang bergelar suaminya. Nur Aliya sedar semua dugaan Allah ke atasnya  berpunca dari   kesilapan lintasan hatinya. Baginya lelaki-lelaki ini memburu cintanya bukanlah  kerana dirinya mempunyai keistimewaan atau dirinya gadis solehah yang didambakan. Tetapi Allah menghantar mereka untuk mengujinya, dengan meletakkan perasaan cinta di hati mereka.

Dia pernah dilamar oleh beberapa orang lelaki untuk menjadi surihati mereka tetapi Nur Aliya menolak. Nur Aliya menolak bukan kerana memilih tetapi setelah meminta petunjuk Allah dengan istikharah. Akhirnya dengan istikharah hatinya terbuka untuk menerima cinta dari seorang lelaki yang beragama. Nur Aliya mengharapkan bakal suaminya itu akan mengajarkannya tentang agama kerana pengetahuannya amat cetek tentang agama. Dia juga mengharap suaminyalah yang akan membimbingnya menjadi isteri yang solehah dan diredhai Allah. Dia ingin melahirkan para pejuang agama dari rahimnya. Dia mengharap dia tidak menjadi fitnah kepada suaminya. Seorang gadis bernama Nur Aliya..hanya kerana kesilapan lintasan hatinya Allah mengujinya. Lintasan di hatinya seolah-olah menyatakan sabda rasul itu hanya untuk sesetengah wanita. Semua kerana kejahilannya dia diuji. Dia mengharungi ujian Allah selama bertahun-tahun dengan memanjatkan petunjuk ilahi agar tidak tergelincir dari landasanNya, jika tidak kerana hatinya berpaut pada Allah pasti Nur Aliya telah rebah menyambut cinta lelaki yang mungkin menjerumuskannya kepada kemurkaan Allah.Ingatlah wahai wanita…sabda Rasul itu adalah benar.Setiap wanita tetap menjadi fitnah kepada lelaki tidak terkecuali seorang pun.Janganlah duhai wanita dirimu menjadi fitnah kepada kaum lelaki yang boleh mengheret dirimu dan diri mereka ke neraka…Peliharalah dirimu berlandaskan apa yang telah disyariatkan, nescaya dirimu orang yang berjaya dunia dan akhirat.



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: