Melegakan Sakit Gigi

Petua 1:

Gigit tiga kuntum bunga cengkih pada tempat yang sakit. Kalau gigi berlubang,tumbuk cengkih dan isi di dalam lubang gigi anda dan tutup dengan kapas. Insya-Allah, sakit beransur kurang.


Petua 2:

Ambil isi lidah buaya dan diletakkan pada tempat yang sakit. 2-4 jam kemudian dapat menghentikan rasa sakit.


Petua 3:

Ambil satu sudu teh garam ke dalam secawan air hangat.  Setelah melarut gunakanlah untuk berkumur  sehingga sakit gigi reda.


Petua 4:

Ambil 10-15 helai daun sirih tua direbus dengan air sebanyak 4 – 6 gelas sehingga mendidih. Sejukkan dan tapiskan.Berkumurlah dengan air daun sirih sehingga sakit gigi hilang.


Petua 5:

Kunyahlah sirih yang dicampur sedikit kapur. Letakkan pada gigi  yang sakit. InsyaAllah sakit gigi akan berkurangan. .


Petua 6 :

Cuba minum air rebusan kulit pokok dan daun pokok gajus untuk mengurangkan sakit gigi.


Petua 7 :

Ambil serbuk jintan hitam atau minyak jintan hitam (habatussauda), letakkan ke dalam gigi yang berlubang.


Petua 8:

Ambil daun serai dan tumbukkan  hingga hancur. Masukkan ke dalam air hangat dan tambah sedikit garam. Air serai ini hendaklah digunakan sebagai bahan kumur.


Petua 9 :

Ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit itu. Insya-Allah sakit gigi anda cepat hilang.


Petua 10 :

Giling halus beberapa kuntum bunga cengkih, bunga lawang, asam gelugur, halia dan lada. Sumbatkan ramuan tersebut ke dalam gigi berlubang.


Petua 11:

Ambil betik muda yang mempunyai banyak getah.Kemudian getah tersebut  dititiskan pada lubang gigi yang sakit itu dengan menggunakan kapas.Elakkan daripada terkena lidah kerana ia akan menimbulkan rasa gatal sekiranya terkena.


Petua 12:

Ambil getah pokok kemboja dan letakkan ke dalam gigi yang berlubang. Jika gusi pula bengkak maka sapukan getah tadi di tempat yang bengkak.


Petua 13:

Campurkan sedikit air suam dengan sedikit cuka. Berkumurlah dengan campuran tadi untuk mengurangkan sakit gigi.


Petua 14 :

Ambil kapas dan dijadikan bebola. Celupkan ke dalam minyak masak yang telah digunakan. Letakkan ke dalam piring lalu bakar kapas sekejap dan jangan sampai jadi abu. Padamkan api dan letakkan kapas tersebut ke dalam gigi yang berlubang. Perlu diberi perhatian jangan terkena gusi.


Petua 15:

Ambil pucuk dan daun pokok cengkih lalu di kunyah-kunyah untuk mengurangkan sakit gigi.


Petua 16:

Ambil akar senduduk putih direbus dan airnya digunakan untuk berkumur.


Petua 17 :

Ambil buah tomato muda kemudian dibelah dua, setelah itu masukkan tomato tadi sebahagian kecil ke dalam gigi anda yang sakit. Seandainya gigi anda dimakan ulat pasti ulatnya akan keluar dengan sendirinya. Dan tidak lama kemudian berkumur-kumurlah bila terasa sembuh. Jika petua ini sesuai pasti anda tidak akan diulangi sakit gigi lagi.


Petua 18:

Letakkan campuran serbuk lada dan minyak bunga cengkih pada gusi dan gigi berlubang.


Petua 19:

Rendamkan sedikit gambir dalam setengah cawan air suam. Tumbuk sehingga separuh hancur. Masukkan gambir ini ke dalam gigi yang sakit.Gambir akan mengebaskan gusi tapi jangan menggunakan banyak kerana akan mengebaskan seluruh mulut.Insyaallah berkesan .


Petua 20 :

Rebus garam, air dan limau nipis yang di belah empat sehingga mendidih. Kemudian biarkannya sehingga suam dan berkumurlah sekerap yang boleh. Lakukan setiap hari sehingga sakitnya berkurangan.


Petua 21 :

Goreng asam jawa beberapa minit. Kemudian bakar sedikit garam kasar ke dalam daun pisang. Tumbuk kedua-dua bahan ini sehingga halus. Kemudian tampalkan pada gigi yang sakit.


Petua 22:

Hiris bawang putih dan tempelkan pada gigi yang sakit. Biarkan selama satu jam.


Petua 23:

Daun sirih yang sudah diletakkan minyak kelapa, dilayurkan atau dipanggangkan pada api, kemudian tampalkan pada pipi yang sakit itu, lakukan dua kali satu hari sampai tiga hari berturut-turut.


Petua 24 :

Ambil tempurung kelapa,garam,bunga cengkih dan madu lebah.Tempurung dibakar hingga menjadi arang kemudian ditumbuk bersama-sama dengan garam dan dicampurkan dengan madu lebah.Ramuan ini hendaklah digunakan untuk menggosok gigi pada setiap hari.Bunga cengkih dapat menyembuhkan sakit pada gusi.Garam dapat menahan pengaliran darah.


Petua 25:

Ambil sepotong kecil bawang merah dan tempatkan pada bahagian gigi yang sakit untuk meredakan gigi yang sedang sakit.Mengunyah bawang merah selama 3 minit dinyatakan cukup untuk membunuh semua kuman di mulut.


Sakit Gigi disebabkan Gusi Bengkak

Petua 1:

Ambil umbut nanas (bahagian dari daun nanas yang masih muda) dan hancurkannya. Kemudian, campurkan sedikit garam halus dan tampalkan pada gusi yang bengkak.


Petua 2:

Ambil 5 helai daun jarak, satu liter air bersih dan sesudu besar air kapur sirih. Rebuskan ramuan ini dan minum airnya.


Gusi Berdarah

Ambil beberapa helai daun bacang dan masukkan ke dalam periuk berisi air. Campurkan beberapa helai daun inai. Kemudian rebuslah dan apabila airnya mendidih bubuhlah sedikit asam gelugur dan garam secukup rasa. Berkumurlah dengan air rebusan ini. Jika gusi anda luka, elok juga berkumur dengan air daun sirih.





Meredakan Demam


Petua 1:

Ambil sebuku asam jawa, ramas dengan sedikit air, setelah sapukan air tersebut pada ubun-ubun dan seluruh kepala, biarkan air asam jawa itu kering di kepala. Anda akan dapati demam anda atau anak anda akan mulai reda. Lakukan sehingga benar-benar sembuh.


Petua 2:

Tiga helai daun sirih diramas ke dalam semangkuk air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan dan jaramkan pada kepala, lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.


Petua 3:

Ramaskan  lima helai daun bunga raya, dua helai daun rambutan dan sedikit daun jambu batu hingga keluar lendir dengan sedikit air. Sapukan pada dahi dan rambut anak.


Cara Keempat:

Ramas semangkuk asam jawa dengan beberapa kuntum bunga raya. Selawat sebanyak tiga kali kemudian sapukan ke kepala dan seluruh badan. Biarkan seharian.


Petua 5:

Ramaskan beberapa helai daun pucuk bunga raya dan bawang. Lumurkan keseluruh kepala terutama ubun-ubun kepala. Ulangi beberapa kali.


Petua 6:

Ambil lidah buaya (aloe vera) dicampur dengan daun setawar berserta gula batu sebesar ibu jari. Semua bahan tu ditumbuk hingga benar benar hancur dan lumurkan pada kepala anak, bahagian tengkuk, bawah ketiak, celah kangkang, belakang badan dan tapak kaki.


Petua 7:

Ambil segengam beras pulut dan digoreng tanpa minyak sehingga kekuningan. Ambil sedikit beras pulut yang telah digoreng tadi dan campurkan dengan secawan air panas. Tunggu air tadi suam dan di tapis.Bolehlah beri bayi anda minum air tersebut. Lebihan beras tadi boleh di buat mandi dengan mencampurkannya ke dalam air panas dan di buat mandian. InsyaAllah panas badan bayi anda pasti akan berkurangan.


Petua 8:

Ramas daun durian belanda  dalam air sehingga keluar lendir. Sapukan air durian belanda seluruh badan.


Petua 9:

Ambil pegaga termasuk akarnya, basuh dengan direndam dalam air garam untuk membunuh sebarang bakteria, dan kisar minumlah jusnya. Kalau nak manis tambahkan gula batu. Boleh diminum sejuk atau panas.

Petua 10:

Buah kembang semangkuk dan halwa kundur direndam lebih kurang 1/2 jam ~ 1jam di dalam air mineral/air putih. Airnya diminum untuk meredakan panas badan akibat demam.

Petua 11:

Ambil segenggam daun betik dan tumbuk hingga halus. Kemudian tapis airnya menggunakan sehelai kain bersih. Air pati daun betik itu hendaklah diminum. Insya Allah dalam tempoh 12 jam anda akan melihat perbezaannya.


Menghilangkan Kutu Rambut

Kutu Rambut                            Sikat Kutu

Cara Pertama:

Ambil beberapa biji bawang putih dan tumbuk sehingga lumat. Campurkan dengan minyak masak dan lumurkan pada rambut. Balut kepala dengan kain selama sejam sebelum dicuci.


Cara Kedua:

Gosok buah belimbing ke seluruh rambut dan kulit kepala. biarkan kira-kira 5-10 minit dan dibilas dengan air bersih. rambut kembali sihat dan bebas kutu jika rajin mengamalkannya.


Cara Ketiga:

Ambil beberapa biji ubat gegat dan ditumbuk hingga halus. Campurkan ubat gegat itu dengan setengah cawan minyak kelapa/minyak masak. Sapu seluruh kepala dan balut kepala dengan kain. Selepas 15 minit, bilas rambut.


Cara Keempat:

Menggunakan cuka putih. Sapukan cuka putih pada rambut. Biarkan selama 2-3 jam. Balut kepala anda dan sikat kepala anda menggunakan sikat kutu dan bilas kepala anda.Lakukan tips ini setiap 3 hari sekali sampai kulit kepala bebas dari serangan kutu rambut.


Cara KeLima:

Menggunakan Mayonis (original). Sapukan mayonis pada rambut. Biarkan selama 2-3 jam. Balut kepala anda dan sikat kepala anda menggunakan sikat kutu dan bilas kepala anda.Lakukan tips ini setiap 3 hari sekali sampai kulit kepala bebas dari serangan kutu rambut.


Cara Keenam:

Menggunakan minyak zaitun. Sapukan minyak zaitun pada rambut. Biarkan selama 2-3 jam. Balut kepala anda dan sikat kepala anda menggunakan sikat kutu dan bilas kepala anda.Lakukan tips ini setiap 3 hari sekali sampai kulit kepala bebas dari serangan kutu rambut.

Cara Ketujuh:

Sapukan sedikit minyak tanah pada rambut dan bungkus kira-kira 15 minit selepas itu syampu rambut anda.

Melegakan Senggugut

Petua 1 :

Ambil sembilan biji pinang tua, dibakar hingga menjadi arang lalu ditumbuk halus. Campurkan secawan air suam dan minum sembilan hari berturut-turut dari hari pertama datang haid.


Petua 2 :

Ambil bawang merah dan hancurkan. Kemudian sapu dan urut-urut pada bahagian perut atau ari-ari yang sakit. Tidak lama selepas itu anda akan merasa lega sendiri.


Petua 3:

Ambil segenggam halia dan tumbuk lumat. Masukkan halia ke dalam segelas air suam, apabila halia mendap barulah diminum air tadi didahulukan dengan selawat. Hasilnya senggugut akan hilang.


Petua 4:

Meminum rebusan rumput jarum emas atau rumput rempah padang atau rumput cengkih padang semasa kedatangan haid atau sebelumnya.


Petua 5:

Campurkan halia yang telah ditumbuk dengan serbuk lada hitam . Kuantiti sama banyak antara kedua-dua bahan . Makan dalam 1 @ 2 minggu sebelum haid .


Petua 6:

Semasa sakit ketika haid, hendaklah sentiasa meminum air teh pahit tanpa gula.


Petua 7:

Ambil beberapa helai daun sirih dan beberapa batang serai wangi. Rebuskan dan minum airnya ketika air suam-suam kuku. Rasanya memang kurang enak tetapi insyaAllah akan berhasil.

Petua 8:

Ambil tiga ulas bawang putih sebesar ibu kaki dan potong nipis-nipis. Kemudian ambil lima biji lada
hitam ditumbuk halus. Campurkan bawang putih dan lada hitam tadi dan
gaulkan dengan air panas. Kemudian minum setiap hari (waktu malam).InsyaAllah senggugut akan hilang.


Petua 9:

Buah petola  juga dipercayai dapat mengurangkan kesakitan senggugut. Ia dapat diamalkan dengan mudah sekali kerana kita cuma perlu memakan sebarang masakan dari petola ini selama seminggu sebelum kedatangan haid.


Petua 10:

Ada pula yang mengamalkan pengambilan kunyit, asam jawa dan gula merah yang direbus. Segelas rebusan ini diminum selepas makan tengahari dan segelas lagi selepas makan malam seminggu sebelum kedatangan haid.


Petua 11:

Daun betik dikatakan boleh menghilangkan sengugut. Ambillah segengam ditumbuk dan airnya hendaklah diminum pada setiap pagi selama tiga hari pada setiap bulan.

Petua 12:

Sepotong gambir (10-15 gram), kunyit hidup 2 ulas dan 5 lembar Daun sirih, dijadikan satu dan ditumbuk halus. Selepas itu tambahkan dengan secawan air masak dan dikacau rata. Kemudian dengan menggunakan kain yang bersih, tapis dan perah ramuan tersebut. Hasilnya diminum sekali dalam sebulan iaitu 2 atau 3 hari sebelum kedatangan haid. Minumlah ramuan pada waktu malam sebelum tidur.


Petua 13 :

Tumbuk secekak daun cili padi, tujuh biji jintan manis hingga lumat. Campurkan dengan dua sudu besar air masak. Perah dan tapis. Amalkan meminumnya tiga kali sehari selama tiga hari.


Petua 14:

Lenyek nasi sehingga lumat. Selepas itu campurkan dengan garam kasar atau garam biasa sehingga sekata. Gentelkan sebesar ibu jari dan embunkan semalaman. Makan pada pagi esoknya. Tidak perlu dikunyah. Lakukan selama tiga malam.


Petua 15 :

Campurkan sedikit gula melaka dengan air kelapa. Sewaktu didatangi haid, minum dua kali sehari dalam masa tiga hari.


Khasiat strawberi

strawberi

Strawberi bukan sahaja cantik buahnya, tapi banyak juga khasiat. Aneka makanan dan minuman berasaskan strawberi dihasilkan.

Strawberi sejenis buah herba yang rata-ratanya memiliki 200 biji kecil. Ada sekitar 700 jenis strawberi.

Salah satu jenis spesiesnya bernama Fragaria Chiloensis L. Jenis ini yang banyak terdapat di negara Amerika, Eropah dan Asia.

Warna merah pada strawberi masak ada khasiatnya. Warna merah itu kerana ia kaya pigmen warna antosianin dan mengandungi agen antioksidan yang tinggi.

Tujuh zat antioksidan yang ada pada strawberi lebih tinggi dibandingkan buah atau sayuran lain dan ia lebih efektif mencegah proses oksidasi pada tubuh.

Oksidan ialah proses hancurnya jaringan tubuh kerana radikal bebas. Oksidan juga bertanggungjawab pada proses penuaan.

Strawberi yang kaya vitamin C sangat bermanfaat bagi pertumbuhan kanak-kanak. Kandungan gulanya sedikit dan sesuai untuk diet bagi penghidap diabetes.

Strawberi yang dimakan teratur dapat menghaluskan kulit dan membuat warna kulit terlihat lebih cerah dan bersih. Khasiat yang terkenal lainnya adalah anti kedut.

Strawberi juga ada khasiat yang boleh memutihkan atau membersihkan permukaan gigi serta kuat melawan radang sendi.

Daun strawberi juga berkhasiat kerana memiliki zat astringent.

Tiga hingga empat cangkir air hasil rebusan daun strawberi sehari, dapat menghentikan cirit-birit.

Keperluan harian vitamin C orang dewasa dapat dicukupi oleh lapan buah strawberi (98mg). Keperluan serat juga sekali gus boleh dipenuhi.

Petua penyimpanan

Hati-hati dalam menyimpan buah ini, kerana strawberi yang
sudah mulai busuk dapat menular dengan sangat cepat ke strawberi lain yang disimpan bersama.

Strawberi biasanya dapat tahan empat hari tetapi di dalam peti ais, kalau kena caranya, boleh tahan sehingga sebulan.

Atur buah secara satu-satu terpisah, lalu bekukan. Setelah beku, siram dengan air dan masukkan ke dalam plastik, dan dibekukan kembali.

Khasiat Buah Naga

buah naga

Warnanya yang merah menyala dengan sulur batangnya tumbuh menjalar seperti naga merupakan buah-buahan yang semakin diminati ditanam di negara ini.

Buah yang berasal dari Mexico dan banyak ditanam di negara seperti Vietnam dan Afrika Selatan itu telah mendapat tempat di sajian selera masyarakat di sini.

Buah naga atau nama latinnya, Hylocereus Undatus tergolong dalam keluarga Cactacese atau kaktus, mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran yang baik. Buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu jenis isi putih (Hylocereus Undatus), merah (Hylocereus Polyrhizus dan kuning (Hylocereus Megalanthus).

Berat buah antara 200 gram hingga 800 gram dan mempunyai khasiat yang banyak malah diiktirafkan sebagai buah 1,001 khasiat.

Buah naga ini dipercayai boleh menurunkan kadar kolesterol, mengimbangi kadar gula dalam darah, mencegah kanser, mencegah pendarahan, mengelak keputihan, menguatkan fungsi ginjal dan tulang, menguatkan minda, meningkatkan ketajaman mata serta sebagai bahan kosmetik.

Selain itu, pokok yang boleh hidup selama 15 tahun ini juga boleh membantu mengurangkan masalah sembelit, darah tinggi, menghaluskan kulit wajah dan sesuai sebagai pemakanan untuk pesakit diabetis.

Malah, buah pelbagai khasiat ini juga mampu memanjangkan jangka hayat produk bakeri seperti roti, kek dan mufin yang kebiasaannya disediakan melalui adunan beberapa bahan mentah seperti mentega, tepung, telur, serbuk penaik, yis dan juga gula.

Justeru itu, sekumpulan chef dari Hotel Eastin, Petaling Jaya dengan diketuai oleh Senior Sous Chef, Mohd. Azli Lahasi, Chef Mohd. Sori Mohd. Zan, Chef Bakri Abu Bakar, Chef Zaidi Muhammad, Chef Adam Lee dan Zairyah Ibrahim (pelatih dari Kolej Damansara Utama) telah mencipta dan memperkenalkan enam jenis masakan yang berasaskan buah naga ini.

Masakan merangkumi pembuka selera, sup dan makanan utama daripada buah naga diperkenalkan bagi mempromosikan lagi khasiat yang terdapat di dalamnya, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan petani yang mengusahakan tanaman ini. Melalui promosi berterusan masyarakat boleh menyedari kehadiran dan penggunaan buah ini, selain boleh dimakan mentah dan dibuat jus.

Menurut Chef Mohd. Azli, khasiat yang pelbagai terkandung di dalamnya yang menyebabkan beliau dan rakan-rakannya memilih untuk mempromosikan buah ini.

‘‘Ia mengandungi vitamin yang baik untuk kesihatan, selain bijinya yang boleh membantu pelawasan dan kaya dengan fiber.

‘‘Sebanyak enam juadah berasaskan buah naga menjadi sajian pelanggan sekiranya berkunjung ke sini,’’ katanya.

Tambah beliau, masakan yang diperkenalkan itu ialah ayam gulung panggang bersama buah naga Ambrosia, peha itik panggang sumbat bersama buah naga dan pic, kombinasi daging, kambing dan makanan laut bersama salsa buah-buahan, panacotta dihidang bersama buah naga, buah naga bersama air gula kayu manis dan udang koktel bersama mangga dengan buah naga.

‘‘Dalam setiap masakan yang diperkenalkan itu, buah naga bertindak mengimbangi antara rasa masam dan manis sesuatu masakan tersebut,’’ katanya.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Khasiat Daun Pegaga

daun pegaga

Bagi yang mahukan wajah sentiasa dalam keadaan muda, fikiran sentiasa tenang dan meningkatkan daya ingatan anda tidak perlu bersusah payah mencari ramuan dan herba lain yang mungkin ada antaranya mengandungi bahan kimia.

Di sebalik bentuknya yang kecil tersimpan rahsia besar membuktikan pegaga sungguhpun kecil namun tumbuhan ini banyak khasiatnya.

Rahsia dan khasiatnya terbukti sejak berkurun untuk dijadikan penawar pelbagai penyakit.

Pun begitu rahsia inilah yang membuka minat mendalam kepada pengamal herba untuk menjadikan pegaga sebagai tanaman pilihan bukan sahaja untuk amalan memakannya sebagai ulam istimewa malah penawar dan mencegah penyakit.

Che Som Ahmad, 68, dari Kampung Bukit Palong, Bongor Baling menjadikan amalan memakan daun pegaga telah menjadi amalan rutin hidupnya dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Bagi Che Som tumbuhan merayap dan mudah hidup ini membawa keistimewaan pada dirinya kerana sejak zaman muda mengamalkan petua makan daun pegaga sudah cukup sebati dalam dirinya menyebabkan dia lantas menanam tumbuhan itu.

Biarpun tanaman pegaganya ditanam di atas tanah sawah terbiar, ia tidaklah menjangkau sayup mata memandang namun batas-batas tanaman tumbuhan ini hidup subur.

Di sebalik deretan batas tanaman pegaga milik wanita ini dia tetap puas tanaman yang dianggap tidak komersial ini sekurang-kurangnya mampu membuka persepsi baru bahawa tanaman ini tinggi nilai perubatan dan kesihatan.

Untungnya tanaman merayap hasil usaha ibu kepada tujuh anak ini yang setiap baris tanaman kira-kira lima meter panjangnya sudah cukup menggambarkan usaha wanita ini telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 petak kawasan tanaman pegaga milik Che Som yang menghijau itu telah memberikan peluang kepadanya menambah pendapatan keluarga.

Menurut Che Som setiap hari dia memetik daun pegaga bagi dijual kepada peraih dan penduduk kampung yang datang membeli dari kebunnya.

Pegaga milik Che Som turut dijual di pasar malam dan minggu didaerah ini dan sekitar.

Katanya, kepada peraih dia menjualnya dalam bentuk ikat dengan harga antara lima puluh sen ehingga RM1 seikat manakala bagi penduduk terpulang kepada mereka malah adakalanya dia enggan mengambil duit.

“Tanaman ini mudah dijaga dan cepat membiak dan cepat matang,” katanya.

Tambahnya, sekalipun serangan serangga kecil dan kekurangan air menyebabkan daun pegaga rosak dan menjadi kekuningan namun ia tidaklah sesukar tanaman lain yang memerlukan perhatian.

Jelas Che Som, kebanyakan spesies pegaga boleh tumbuh di kawasan terbuka dan ada juga yang memerlukan keadaan lindungan yang sederhana.

Namun menurut wanita ini, tumbuhan pegaga tumbuh meliar di kawasan lembap dan berdekatan air.

Tambahnya, menanam pegaga tidaklah sesukar tanaman lain kerana selepas dipetik dalam tempoh beberapa hari ia akan tumbuh semula dan bersilih ganti menyebabkan tanaman ini tidak memerlukan kawasan yang besar untuk menanamnya.

Namun di sebalik usaha penanaman pegaga ini Che Som berkata nilai dan khasiatnya yang tinggi ialah boleh mengekalkan pengamalnya awet muda.

”Amalan memakan daun pegaga boleh mengekalkan awet muda dan masalah kegemukan,” ujarnya tersenyum.

Pegaga atau nama saintifiknya, Centella asiatica berasal dari kawasan Asia iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar dan juga Afrika Timur.

Juga dikenali sebagai daun kaki kuda dari keluarga Umbelliferae di kalangan masyarakat tempatan tanaman ini begitu popular kepada tiga kaum utama di negara ini.

Bagi kaum Melayu ia dimakan secara segar sebagai ulam dan juga sering dijadikan kerabu dengan campuran dengan daun herba lain.

Bagi kaum Cina pegaga dijadikan minuman penyejuk badan manakala untuk kaum India digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.

Masyarakat India juga menjadikan pegaga sebagai sumber perubatan untuk penawar racun, anti kanser,,ubat cirit birit dan dijadikan tonik mengubati penyakit kulit dan saraf.

Di Thailand pegaga di kenali Buabok telah menjadi satu produk yang dibotolkan secara jus diminum sejuk menjadikan minuman pegaga asli begitu popular di negara gajah putih itu.

Sejarah perubatan Ayur Veda menunjukkan pegaga sebagai sumber paling baik dan menyegarkan untuk sel-sel otak dan otot manusia.

Daun pegaga berbentuk otak atau ginjal dengan lebar antara tiga hingga lima sentimeter (sm) dan panjang tangkai boleh mencapai sehingga 15 sentimeter mengikut kultivar, kesuburan dan kepadatan tanaman.

Bunganya dalam jambak antara tiga hingga empat kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu.

Menjelaskan mengenai jenis pegaga Che Som berkata terdapat sekurang-kurangnya lima jenis yang terdapat dan tumbuh meliar di negara ini iaitu pegaga cina, pegaga daun lebar, pegaga gajah, pegaga salad, dan renek.

Istimewanya tumbuhan menghijau ini turut dijadikan penawar dalam menurunkan tekanan darah, melawaskan kencing, penyembuhan luka, ulser, masalah kulit dan penawar alahan.

Tumbuhan ini kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi dan vitamin A dan C.

Namun di sebalik usianya itu Che Som menyimpan hasrat supaya usahanya itu memberi semangat terutama kepada petani muda menceburi penanaman pegaga secara komersial.

Memang tepat saranan Che Som kerana sejak kebelakangan ini industri kecantikan tempatan turut menjadikan daun pegaga sebagai ramuan.

Dalam bidang kecantikan khasiat daun pegaga terbukti mampu menjadi bahan tambahan kepada anti selulit dan anti kedutan untuk mata, muka dan menambah ketegangan kulit dan akhirnya membentuk kulit baru.

Khasiat Oat

oatmeal

Penyakit jantung adalah satu daripada pembunuh senyap yang paling utama di kalangan lelaki dan wanita, demikian menurut Pertubuhan Jantung Amerika.

Meskipun banyak faktor menyumbang kepada penyakit jantung seperti gaya hidup, pemakanan, alam persekitaran, tabiat dan lain-lain, usaha mengekalkan kesihatan jantung bukan sahaja tertakluk kepada pengamalan gaya hidup yang aktif.

Pemakanan yang sihat dan bijak dapat memainkan peranan penting dalam usaha mengamalkan gaya hidup yang menjamin kesihatan jantung.

Tahukah anda bahawa untuk menjaga kesihatan jantung, anda hanya perlu memakan sekurang-kurangnya 70g. oat setiap hari?

Oat sudah bertahun lamanya terkenal kerana khasiat kebaikannya kepada kesihatan kita secara keseluruhan, terutama sekali kepada kesihatan jantung.

Ia bermula pada tahun 1854 apabila ‘Raja Oatmeal’ Ferdinand Schumacher memperkenalkan oat di Amerika dan menganggap oat sebagai tambahan yang sihat kepada pemakanan. Dakwaannya kini sudah dibuktikan secara saintifik.

Kini, pakar-pakar pemakanan dan diet memberi penekanan terhadap keberkesanan oat sebagai rumusan paling semulajadi untuk menjaga kesihatan dan mencegah penyakit jantung.

Oat mengandungi serat larut yang secara aktif menyerap dan membantu menghapuskan kolesterol berlebihan yang boleh menyumbat arteri anda dan menyebabkan penyakit jantung.

Pengambilan oat membantu menurunkan tahap kolestrol dan akhirnya menjadikan jantung lebih sihat!

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa pengambilan oat secara tetap benar-benar berkesan untuk menurun dan memperbaiki tahap kolesterol.

Menjaga kesihatan jantung anda adalah semudah mengambil oat setiap hari.

Sebagai contoh, Quaker Quick Cooking Oatmeal dan Quaker Instant Oatmeal bukan sahaja boleh dijadikan sajian makanan yang berkhasiat dan mengenyangkan, malah ia juga memberikan banyak manfaat kesihatan. Kedua-dua produk ini boleh didapati di mana-mana pasar raya berhampiran.

Emping oat bukan sahaja berkesan menurunkan tahap kolesterol darah tetapi juga menjamin kesihatan usus dengan menyediakan sumber nutrien secara perlahan-lahan dan konsisten seperti mana yang diperlukan untuk membaharui sel-sel usus.

Serat merangsangkan pengeluaran air liur, yang memudahkan anda mengunyah dan menelan. Apabila berada dalam perut, ia membantu mencairkan kandungannya, menjadikannya lebih mudah untuk dihadam.

Serat dalam usus kecil membantu memperlahankan kadar penghadaman nutrien dalam makanan. Ini memastikan semua nutrien dalam makanan digunakan oleh badan.

Serat juga membantu mencegah banyak masalah ketidakselesaan yang dialami oleh orang tua, seperti sembelit dan buasir.

Oat mengandungi lebih banyak kalsium, protein, magnesium, zat besi, zink, kuprum (copper), mangan (manganese), tiamin dan vitamin E berbanding makanan bijirin lain seperti gandum dan rai.

Seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, oat mengandungi fitokimia yang merupakan bahan kimia semula jadi dalam tumbuh-tumbuhan yang membantu menentang penyakit.

Oat secara khusus mengandungi banyak flavonoid yang merupakan antioksidan yang amat berkesan untuk membantu mencegah penyakit jantung.

Oat adalah juga makanan yang ideal untuk semua peringkat umur. Mudah diterima sebagai makanan pepejal permulaan untuk bayi dan juga orang tua, oat kerap digunakan dalam program membantu mangsa kebuluran kerana keupayaannya membekalkan khasiat pemakanan berkualiti secara tidak mahal.

Oat kini menjadi kegemaran di kalangan chef pastri untuk mencipta roti, biskut, mufin dan kek yang paling lazat dan sihat! Quaker mempunyai beberapa resipi masakan tempatan terkenal yang menggunakan oat seperti Rendang Ayam Quaker dan Pegedil Quaker.

Ada yang menambah emping oat ke dalam sajian kari kerana ia menjadikan kuah kari lebih pekat dan lebih lazat!

Anda juga boleh menggunakan oat sebagai salutan ikan dan ayam goreng. Dengan cara ini, anda boleh memuaskan cita rasa dan mendapat manfaat kesihatan daripada oat!

Usaha menjaga kesihatan jantung patut dimulakan dari kecil. Ibu bapa patut menyemaikan tabiat makan oat di kalangan anak-anak mereka dengan menggalakkan sarapan emping oat dan menambah oat ke dalam masakan.

Kuasa oat tidak boleh diperkecil kerana ia memberi khasiat kebaikan dan kesihatan yang menakjubkan untuk anda dan keluarga anda. Sempena Hari Jantung Sedunia yang diperingati di seluruh dunia pada 24 September. Mulakan tabiat mengambil oat hari ini untuk menjamin jantung yang lebih sihat!

Khasiat Badam


badam

Menikmati snek memang suatu yang menyeronokkan dan mengasyikkan terutama ketika bersantai.

Ramai orang takut untuk mengambil badam atau almond. Begitu juga dengan jenis-jenis kekacang yang lain kerana kandungan lemaknya yang tinggi.

Sebenarnya anda tidak perlu takut mengambil badam kerana walaupun badam mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% dari lemak dalam badam adalah lemak taktepu (unsaturated fat) yang badan anda perlukan. Kandungan lemak mono taktepu (monounsaturated fat) yang tinggi dalam badam sepertimana terdapat di dalam minyak zaitun membuatkan badam menjadi senjata hebat bagi memerangi kolesterol LDL di dalam badan anda.

Tahukah anda badam adalah makanan seimbang dan paling tinggi khasiat di kalangan kekacang?

badam
Badam mengandungi protein, serat, kalsium, magnesium, kalium, zinc, selenium, kuprum, phosphorus, biotin, riboflavin, niacin, besi, vitamin E serta antioksida lain yang tinggi. Contohnya, segenggam badam (35gm), dapat membekalkan 45% dari keperluan harian Vitamin E dan Manganese. Sumbangan beberapa nutrient dari segenggam badam adalah seperti paparan graf di sebelah.

Di bahagian selaput biji badam sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20 jenis flavonoids (antioksida) utama. Gandingan beraneka flavonoids dan vitamin E menjadikan badam suatu makanan yang amat berkhasiat sekali bagi memerangi berbagai masalah kesihatan.

Badam Mengurangkan Paras Kolesterol, Merendahkan Risiko Darah Tinggi dan Serangan Jantung

Satu kajian yang dijalankan di University of Toronto ke atas 27 pesakit yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi menunjukkan pengambilan purata 74gm (2 genggam) badam setiap hari selama sebulan telah berjaya menurunkan 9.4% daripada paras kolesterol di dalam badan mereka. Nisbah LDL(kolesterol jahat)/HDL(kolesterol baik) didapati menurun sebanyak 12%. Penurunan nisbah ini menunjukkan menurunnya risiko serangan jantung (cardiovascular).

Asid folik yang terdapat di dalam badam dipercayai dapat menurunkan paras homocystein, iaitu sejenis asid amino yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit; dengan itu juga mengurangkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.

34.5gm badam (segenggam) mengandungi 99mg magnesium (24.7% dari keperluan harian)serta 257mg kalium (potassium).

Magnesium berperanan melembutkan saluran darah dan dengan itu pengaliran darah, oksigen serta nutrient di dalam badan berjalan dengan elok. Kajian menunjukkan kekurangan magnesium bukan sahaja boleh menyebabkan serangan jantung, tetapi kekurangan magnesium selepas serangan jantung boleh menyebabkan kecederaan (radikal bebas) pada jantung.

Kalium adalah penting untuk sistem transmisi saraf dan otot. Ia amat penting di dalam mengawal tekanan darah serta perjalanan jantung. Pengawalan tekanan darah serta jantung menjadi lebih berkesan dengan badam kerana kandungan sodium yang rendah (hanya 0.3mg bagi setiap suku cawan badam).

Badam Menghalang Obesiti (Kegemukan)

Di dalam satu kajian yang pernah disiarkan di dalam International Journal of Obesity and Related Metabolic Disorders, dilaporkan bahawa diet yang diperkaya dengan badam telah berjaya mengatasi masalah obesiti jauh lebih berkesan dibandingkan dengan diet berkalori rendah dari kabohidrat kompleks.

Kajian tersebut melibatkan 65 orang dewasa obes. Mereka dibahagi kepada 2 kumpulan. Kedua-dua kumpulan dibekalkan dengan diet yang sama jumlah kalori serta proteinnya.

Kumpulan pertama diberi diet berkalori rendah terdiri dari karbohaidrat kompleks. Kumpulan kedua juga diberi diet berkalori rendah yang di perkayakan dengan badam (2 genggam sehari).

Selepas 6 bulan di dapati kumpulan yang dietnya diperkaya dengan badam mengatasi kumpulan berdiet karbohaidrat dengan 64% dalam pengurangan berat badan, 56% dalam lilitan pinggang, 50% dalam pengurangan lemak.

Perbandingan keputusan bagi kedua-dua kumpulan dapat anda saksikan pada graf di bawah.

Badam Meredakan Diabetes

Di dalam suatu kajian yang telah disiarkan di dalam The Journal of Nutrition, badam telah ditambah kepada diet sekumpulan pengidap diabetes tahap ke-2.

Keputusan ujian menunjukkan diet dengan badam telah menurunkan glycemic response dan insulin response. Kumpulan yang mengambil diet bersama badam ini telah menunjukkan penurunan kebergantungan kepada ubatan.

Ini bermakna dengan mengambil badam, masalah diabetes dapat dikurangkan.
Badam Membantu Menghalang Batu Karang

Kajian dan pengumpulan data ke atas wanita selama 20 tahun oleh ‘Nurses’ Health Study’ menunjukkan wanita yang memakan sekurang-kurangnya 1oz (30gm) kekacang atau mentega kacang dalam seminggu mengalami penurunan 25% risiko batu karang.

Badam Menghalang Osteoporosis

Badam juga dikatakan dapat menghalang osteoporosis. 30gm badam (25-30 biji) mempunyai kandungan kalsium sama seperti terdapat dari 1/4 cawan susu. Kalsium amat berguna bagi menghalang osteoporosis.

Tahukah anda diet kurang kalsium boleh mecetuskan risiko barah usus?

Badam untuk Wanita Hamil

AlmondnutsKandungan folate yang tinggi di dalam badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah penting bagi mengelakkan dari kecacatan pada bayi ketika hamil.

Badam Mengurangkan Risiko Berbagai Penyakit

Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa beberapa jenis kekacang, terutamanya badam, dapat mengurangkan risiko barah, diabetes, nyanyok (Alzheimer’s disease) dan beberapa penyakit kronik yang lain.

Dalam satu kajian yang telah disiarkan di dalam ‘American Journal of Clinical Nutrition’, dilaporkan bahawa badam berupaya menurunkan tahap kolesterol setanding dengan kesan dari penggunaan dadah ’statin’. Kajian seterusnya pula mendedahkan bahawa badam setanding dengan dadah ’statin’ dalam mengurangkan tahap protein ‘C-reactive’ yang merosakkan ateri.

Terdapat berbagai lagi khasiat badam yang tidak dapat disiarkan di sini. Selain tinggi khasiat, badam juga mempunyai rasa yang sedap. Berbagai cara orang menggunakan badam dalam masakan; daripada snek sehinggalah kepada makanan berat. Oleh itu jadikanlah badam sebahagian daripada diet anda. Semuga anda bertambah sihat, ceria serta berbahagia.

Khasiat Timun

timun

Timun ada pelbagai khasiat & penawar. Kebanyakan orang suka memakannya kerana ia dianggap dapat menyejukkan badan. Sebenarnya timun kaya dengan kandungan mineral. Ia juga mengandungi kalsium, fosforus, zat besi & Vitamin C.

Timun mampu mengekalkan kandungan alkali dalam darah kita. Jika mengalami sembelit, ia dpt diatasi dgn mengamalkan makan timun setiap hari. Kandungan jus di dalam timun amat mujarab untuk merawat gastrik, ulser serta kandungan asid tinggi. Jika jus dicampurkan dgn perahan lobak merah dan saderi, ia dpt mengatasi masalah pusingan asid seperti gout, reumatik dan artritis.Bijinya pula kaya potasium. Cecair daripada bijinya dapat merawat masalah kekerapan buang air kecil.

Selain itu, perahan airnya juga boleh merawat kudis. Untuk mendapatkan kesan mujarab, perahan timun boleh dicampur dengan jus lobak dan salad.Parutan timun juga boleh digunakan untuk rawatan kecantikan seperti masalah jerawat. Campur parutan timun dengan kuning telur. Kacau sebati dan sapu pada seluruh muka. Biar 15-20 minit, kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan selalu supaya jerawat cepat kering.

Selain itu, timun juga dapat menghilangkan masalah bau badan. Ambil sebiji timun muda dan kupas kulitnya. Cuci dan gosokkan pada bahagian badan yang sering berpeluh. Lakukan selalu samada semasa mandi ataupun selepas mandi.

Kulit muka yang kasar juga boleh dirawat dengan menggunakan timun. Caranya,parut timun dan ambil air perahan timun, kemudian gaul dengan tepung jagung. Sapu ke seluruh muka pada setiap malam sebelum tidur.

Kita juga boleh mengatasi masalah panas badan dengan timun. Kikis sebiji timun dengan menggunakan garpu supaya berjurai. Boleh juga dikisar sehingga halus. Buat sebagai bahan minuman dengan mencampurkannya bersama gula dan garam. Kacau hingga sebati dan simpan dlm peti sejuk. Kemudian minum setiap pagi,petang & malam.

« Older entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers