Lantaran Khilafnya Lintasan Hati…

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela (selepas wafatku) terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah wanita”
(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Nur Aliya….merupakan seorang gadis yang berpendidikan sekular. Ilmunya tentang agama terlalu dangkal. Ilmunya tentang Islam hanya terbatas pada mata pelajaran Pendidikan Islam lantaran dirinya merupakan pelajar aliran sains. Gred A untuk mata pelajaran Pendidikan Islam yang didapati dalam saban peperiksaan lantaran idamnya untuk berjaya dalam peperiksan semata bukan sebagai panduan hidupnya. Di atas kejahilannya memahami hadith ini Allah telah menguji imannya bertahun-tahun. Nur Aliya….seorang gadis biasa dan sederhana. Rupa parasnya tidaklah jelita sehingga mampu menggoyah iman seorang lelaki.Bukanlah juga wanita solehah dan berakhlak yang mulia menjadi dambaan kalbu para lelaki..Hakikatnya dirinya hanya wanita biasa di alaf baru ini yang tidak pernah lari dari kekhilafan. Nur Aliya… dia membesar sepertimana kebanyakan wanita di zaman metarialistik ini. Sekolah harian kerajaan adalah tempatnya memenuhkan ilmu di dada sebagai bekal mengharungi hidup lantaran ibu bapanya merasakan ilmu agama yang dibekalkan di sekolah harian kerajaan cukup untuk menjadikannya wanita yang solehah dan berpendidikan tinggi. Tidak perlu ke sekolah agama seperti yang kadangkala dianggap sesetengah ibu bapa tiada masa depan dengan bekalan ilmu agama.

Cuma Nur Aliya bukan seorang yang gemar bergaul mesra dengan lelaki. Perbicaraannya dengan lelaki hanya terbatas di dalam kelas dan berkisar tentang pelajaran sahaja..Sehinggalah satu ketika di satu daerah di mana tempat dia melanjutkan pelajaran sebagai persediaan ke universiti, Allah telah memilihnya di antara sekian banyak manusia untuk menerima hidayahNya. Allah telah memimpin hatinya agar tertambat pada musolla kolej pengajiannya untuk solat berjemaah setiap waktu solat. Dirinya ibarat seorang insan yang kekosongan yang amat dahagakan ilmu agama lantaran terlalu sedikit ilmu mengenai Islam di dadanya..Tiada sesiapa di sisinya ketika itu yang diharap dapat menuntun tangannya untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Dia benar-benar mengharapkan pertolongan Allah semata. Nur Aliya…selama ini Al Quran yang dikhatamnya sejak berusia sebelas tahun ditinggalkan dan hanya dibaca apabila tibanya bulan Ramadhan. Maka bagaimanakah bacaan Al Quran orang yang telah meninggalkan Al Quran? Apabila seorang insan meninggalkan Al Quran, pasti Al Quran juga akan meninggalkannya…

Dengan segenap daya dikerah untuk cuba kembali membaca Al Quran yang telah lama tersisih dari sanubarinya. Dia menangis tersedu-sedu lantaran bacaannya tersekat-sekat umpama baru saja mengenal huruf hijaiyyah. Setiap satu huruf yang dilantunkan disulami dengan rembesan mutiara jernih di pipi lantaran terasa payahnya. Mutiara jernihnya tak henti bertamu membasahi pipi lantaran keinsafan atas kealpaanya selama ini. Dia mengharap bantuan hanya pada Allah. Akhirnya, dengan pertolongan Allah dia berjaya melancarkan kembali bacaan Al Quran, walaupun bacaannya pada masa itu tajwidnya lintang pukang. Tapi satu kenikmatan yang amat buat dirinya apabila berjaya juga melancarkan kembali bacaan kalam Allah  semampunya. Disitulah dia mengenali cinta Allah. Tiap kali dia mengharapkan Allah, Allah pasti ada. Janji Allah itu benar…Walau tiada siapa disampingnya tapi ada Allah yang membantunya. Sejak itu,  dia melazimi sedikit demi sedikit dengan Al Quran. Kecintaannya pada Al Quran mula tumbuh.Kecintaannya kepada ilmu agama juga semakin semarak di hatinya. Segalanya dilakukan sendiri dengan bantuan Allah. Dia cuba menyembunyikan apa jua perubahan dirinya dari teman-temannya agar tidak tumbuh riak di hatinya. Baginya apa yang dilakukan demi meraih cinta ilahi dan merasai kemanisan iman. Dia masih lagi gadis biasa, gemar berbaju kurung dan bertudung bawal. Tiada apa yang istimewa tentangnya..

Malamnya pula mula diisi dengan taqarrub kepada Allah dengan solat tahajjud dan zikirnya.Dia cuba sedaya upayanya melazimi solat tahajjud. Oleh kerana tidak mahu teman sebiliknya mengetahui apa yang diperbuat, dia tidak bertahajjud di asrama sebaliknya di musolla.  Saat tiada sesiapapun di musolla, dengan kekuatan  yang Allah diberikan  padanya, dia menapak sendirian ke musolla untuk bertahajjud..Tidak sesekali dibiarkan musolla itu disimbahi cahaya dari lampu kalimantang. Taqarrubnya pada RabbNya dalam cahaya suram agar tiada siapa tahu dia ada di dalamnya. Sehinggalah satu ketika semasa dia membaca hadith ini di dalam sebuah buku agama yang dipinjamnya di perpustakaan..

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela (selepas wafatku) terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah wanita”

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Terlintas dihatinya ” Aku mungkin takkan menjadi fitnah kepada orang lelaki kerana aku bukanlah orang yang cantik sampai lelaki-lelaki tergila-gilakan aku. Manalah ada lelaki yang hendakkanku, perangaiku pula bukanlah baik sangat”. Hanya kerana lintasan hatinya itu Allah telah menguji imannya bertahun-tahun. Tanpa dia menyedari ada mata-mata lelaki yang selama ini memerhatikan gerak gerinya. Sejak itu, dia menjadi perhatian lelaki. Dalam sujudnya dia menangis semahunya. ” Ya Allah, aku mencari cintaMu bukan cinta lelaki ini. Jauhkan aku dari mereka ini. Ampunilah aku atas kesilapan lintasan hatiku”. Sejak itu dia meneruskan tahajjudnya di asrama. Bermulalah ujian Allah ke atasnya. Cintanya ditagih beberapa lelaki, baik di kelasnya mahupun di luar kelas. Mata lelaki-lelaki itu sering tertancap padanya dan memerhatikan setiap gerak gerinya. Dia hanya mampu menangis dan menangis dan memohon agar diberi kekuatan iman untuk menghadapi ujian Allah ini. Setiap kali lelaki-lelaki itu ingin menghampirinya dan berbicara dengannya, lekas-lekas dia melarikan diri. Hidupnya tidak pernah tenang sejak itu dengan gangguan lelaki yang menagih cintanya. Dia mengharap cinta Allah. Dia takut jika dia menerima cinta mereka dia akan jauh dari Allah dan melakukan kemaksiatan kepada Allah seperti kebanyakkan temannya yang “bercouple”.

Suatu petang teman akrabnya Najwa bertanya kepada Nur Aliya ” Aliya, dah lama sebenarnya aku nak tanya kau tentang satu hal ni, aku kan selalu dengan kau..aku harap kau tak marah”. ” Apa dia Najwa, aku ada buat salah pada kau ke?” tanya Nur Aliya takut andainya ada perbuatannya menyakiti karibnya itu. ” Hmm….begini, aku dah lama perhatikan Farhan, ustaz kelas kita tu selalu memerhatikan kau. Bila kau masuk kelas wajahnya bersinar dan senyumnya melebar..Aku rasa dia ada hati pada kau Aliya. Aku rasa kau pun tahu tentang tu sebab aku selalu perhatikan kau selalu mengelak dari bertembung dengannnya”, tanya Najwa ingin tahu..” Kau ni memandai je..kalau orang tahu tak ke malu aku dikata minah perasan. Manalah layak aku dengan dia tu, ramai lagi perempuan kat kolej ni yang lebih baik dari aku..Kau tengoklah aku ni biasa je kan”, jawab Nur Aliya cuba menyangkal kata Najwa.

“Aliya…jangan berdalih…kenapa kau lari dari dia. Aku tengok orangnya warak, dia amat menjaga pergaulan dengan perempuan malahan kaki surau pulak tu..” ujar Najwa inginkan kepastian. Nur Aliya terdiam seketika mencari kata. Akhirnya dia bersuara ” Najwa, aku harap kau simpan rahsia ni. Sebenarnya, Hanifah kawan baik Farhan pernah memberi kiasan pada aku tentang perkara tu. Masa tu aku orang paling awal masuk ke kelas. Tak lama lepas tu, Hanifah dan Farhan masuk. Hanifah berkata pada aku ” Sekarang ni ada orang mandi tak basah, makan tak lalu, tidur tak lena sambil matanya melirik pada Farhan”. ” Habis tu apa yang kau cakap?” tanya Najwa tak sabar. ” La excited pulak dia, Farhan tersenyum je masa tu. Aku cakap ” Dia tak mandi ,tak makan, tak tidur kot, tu la yang mandi tak basah makan tak kenyang tidur tak lena”. Perbualan kami terhenti kat situ sebab ada teman sekelas yang lain masuk ke kelas”. “Aku malaslah nak cintan-cintan ni..aku datang sini untuk belajar bukan untuk bercinta” jawab Nur Aliya menamatkan bicaranya.

“Kau tak rasa rugi ke orang sebaik tu?” tanya Najwa masih tidak berpuas hati. “Aku ingatkan pegawai penyiasat ni dah habis modal dah”, senyum Nur Aliya. ” Nak rugi apanya, andai kata dia jodoh aku, aku lari jauh manapun  tetap jodoh aku dengan dia. Tapi kalau jodoh aku memang bukan dengan dia, aku bercinta sakan bertahun-tahun pun tetap aku tak kahwin dengan dia. Daripada aku menghimpun dosa kerana cinta baik aku tolak awal-awal,” ujar Nur Aliya memberi penjelasan agar temannya itu faham.

Dia mengharapkan ujian itu akan berakhir sebaik sahaja dia melangkah ke universiti kerana menyangka tiada yang mengenalinya lantaran luasnya universiti itu. Ternyata telahannya silap. Allah tetap mengujinya. Hari pertama di universiti lagi Allah telah membuka pintu hati seorang lelaki yang juga Fasilitator minggu suai kenal untuk terpaut dengannya. Kebetulan waktu itu lelaki itu menawarkan pertolongan  kepada ibu bapanya untuk menghantar beg serta keperluannya ke asrama barunya sementara dia telah terlebih dulu membawa barang yang lain ke asrama..Nur Aliya hanya mengucapkan terima kasih atas pertolongan lelaki itu. Wajah lelaki itu pun hanya sekilas dipandangnya tatkala mengucapkan terima kasih..Tetapi sepanjang minggu suaikenal itu, dia merasakan ada seorang lelaki yang sentiasa memerhatikannya..Lama baru dia tersedar lelaki berkopiah itulah yang telah menolongnya tempoh hari. Rintihnya sendiri di dalam hati ” Ya Allah kusangkakan segalanya telah berakhir, jauhkan aku dari godaan cinta lelaki, Ya Allah berilah aku kekuatan untuk terus berada di jalanMu dan pimpinlah aku dalam menghadapi ujianMu ini”

Segalanya berlarutan dengan lelaki-lelaki lain pula termasuklah di teman sekuliah di fakultinya selama bertahun-tahun. Hidupnya sehari-hari tidak lagi setenang dulu baik di asrama mahupun di fakulti. Hidupnya umpama pelarian, melarikan diri dari lelaki-lelaki yang menagih cintanya. Berbagai ragam lelaki yang memburunya. Ada yang warak dan berkopiah, ada anak orang tokoh agama, ada lelaki kaya, ada lelaki biasa, ada yang kacak dan ada juga penggerak dakwah. Nur Aliya…memanjatkan doa kepada Ilahi agar diberi kekuatan untuk menepis segala dugaan ini demi cintanya pada Ilahi dan takutnya jika dirinya terjerumus ke lembah maksiat. Baginya cintanya hanya diserahkan kepada seorang lelaki iaitu lelaki yang bergelar suaminya. Nur Aliya sedar semua dugaan Allah ke atasnya  berpunca dari   kesilapan lintasan hatinya. Baginya lelaki-lelaki ini memburu cintanya bukanlah  kerana dirinya mempunyai keistimewaan atau dirinya gadis solehah yang didambakan. Tetapi Allah menghantar mereka untuk mengujinya, dengan meletakkan perasaan cinta di hati mereka.

Dia pernah dilamar oleh beberapa orang lelaki untuk menjadi surihati mereka tetapi Nur Aliya menolak. Nur Aliya menolak bukan kerana memilih tetapi setelah meminta petunjuk Allah dengan istikharah. Akhirnya dengan istikharah hatinya terbuka untuk menerima cinta dari seorang lelaki yang beragama. Nur Aliya mengharapkan bakal suaminya itu akan mengajarkannya tentang agama kerana pengetahuannya amat cetek tentang agama. Dia juga mengharap suaminyalah yang akan membimbingnya menjadi isteri yang solehah dan diredhai Allah. Dia ingin melahirkan para pejuang agama dari rahimnya. Dia mengharap dia tidak menjadi fitnah kepada suaminya. Seorang gadis bernama Nur Aliya..hanya kerana kesilapan lintasan hatinya Allah mengujinya. Lintasan di hatinya seolah-olah menyatakan sabda rasul itu hanya untuk sesetengah wanita. Semua kerana kejahilannya dia diuji. Dia mengharungi ujian Allah selama bertahun-tahun dengan memanjatkan petunjuk ilahi agar tidak tergelincir dari landasanNya, jika tidak kerana hatinya berpaut pada Allah pasti Nur Aliya telah rebah menyambut cinta lelaki yang mungkin menjerumuskannya kepada kemurkaan Allah.Ingatlah wahai wanita…sabda Rasul itu adalah benar.Setiap wanita tetap menjadi fitnah kepada lelaki tidak terkecuali seorang pun.Janganlah duhai wanita dirimu menjadi fitnah kepada kaum lelaki yang boleh mengheret dirimu dan diri mereka ke neraka…Peliharalah dirimu berlandaskan apa yang telah disyariatkan, nescaya dirimu orang yang berjaya dunia dan akhirat.



Hati Seorang Isteri

“Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan menjadikan isteri daripadanya, dan daripada keduanya, berkembang biak lelaki, dan perempuan dengan banyaknya…” An-Nissa’ : 1.

Hanan tahu. Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu. Allah maha tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa.
Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa. Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi. Ya… Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis. Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok. Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro… Tetapi, bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu… Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya.

Rasulullah pernah bersabda, ” Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu.”

“Umi… Abu ingat abi.”

“Abi sibuk. Nanti malam, abi pulang. Abu dah solat? Pergi solat dulu. Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu.”

Abu Bakar… Putera sulung Hanan bersama Muhammad. Sebagai tanda cinta berpanjangan. Abu Bakar As-Siddiq… Sahabat akrab Rasulullah. Itulah impian Hanan. Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah.

Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.

Fatimah… Begitu comel wajah itu. Masih Hanan ingat. Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Pendakwah bebas… Perginya ke mana-mana. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu. Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan. Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami. Di pangkuan suami tercinta.

” Ayang nak letak nama apa?”
” Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.”
” Sumayyah?”
” Abang suka?”
” Entahlah. Apa kata… Fatimah Az-Zahrah.”

Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih. Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh, dan redha. Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu. Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur. Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.

Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Siapakah dia? Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

” Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.
” Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak.”

” Bagaimana pula dengan rotan?”
” Jika layananku tidak memuaskan hatinya. Aku rela dipukulnya.”
” Adakah dia sering memukulmu?”
” Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya.”
” Kamu memang layak masuk syurga,” bisik hati Fatimah.

Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat, dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan. Takbir!! Hanan terkejut dari lamunan. Dia terkenang kisah lampau. Antara dia, dan Muhammad. Antara cita-cita, cinta, dan harapan. Konflik berlegar-legar. Cita-cita membantu ibu di desa. Meringankan beban ibu yang melahirkan. Membalas jasa bapa yang membesarkan. Hanan tahu perit ibu mengandungkan. Sakit ibu melahirkan. Penat ibu membesarkan.
Kakak,Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong. Nak bawa kami naik kapal terbang. Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah. Kenapa tak boleh sekarang? Kakak tak ada duit ye? Kakak tak cukup duit? Salam sayang dari kami di kampung. Abang.

Abang,Bukan kakak lupa. Kakak ingat janji kakak. Tapi, apakan daya. Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung. Janji kakak, agak sukar dikotakan. Sayang selalu. Kakak.

Konflik terus bermain di kepala. Antara ketaatan, dan cita-cita. Antara harapan, dan cinta. Hati Hanan menjerit. Dia ingin mengotakan janjinya. Ingin meringankan beban ibunya. Hanan merancang sebegitu lama. Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya. Membantu keluarganya. Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti?

” Ayang… Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.”
” Pergilah bang. Orang dah jemput.”
” Macam mana anak-anak?”
” Abu… Macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah.”
” Ayang… Penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?”
” Emmm….”

Abang,Bukan harta yang dipinta. Bukan emas yang dirayu. Hanan ingin selalu di sampingmu.Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat. malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana. Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya. Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah. Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras. ” Ibrahim : 7. Ya… Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya. Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia. Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu. Suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah. Bak kata seorang teman, ” Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya. Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya. Apatah lagi wanita di dunia.

” Kakak… Nenek sakit tenat. Baliklah. Ibu suruh kakak balik.”
” Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah. Macam mana kakak nak keluar rumah?”
” Kakak telefonlah dia. Nenek dah nazak. Kakak kena balik.”
” Nanti kakak telefon abang Muhammad.”

Telefon Muhammad? Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu. Hatinya meronta untuk pulang. Tapi bagaimana? Hanan tahu, suaminya tidak akan marah.

Bukan benda kecil. Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad. Jika dikhabarkan berita ini, pasti Muhammad gelisah. Hanan yakin, Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini. Hendak pulang sendiri? Hanan mana ada fulus? Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi. Tetapi, bagaimana dengan Abu, dan Fatimah? Tinggalkan di rumah? Tidak sama sekali. Apa-apa boleh berlaku. Budak-budak masih kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak mengerti apa-apa. Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi? Hanan tidak sanggup. Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan. Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini? Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada? Ibu tidak tahu. Dan ibu tidak perlu tahu. ibu juga tidak boleh ambil tahu. Hanan banyak berjimat. Ditahan keperluannya. Dipenuhi kehendak ibu bapanya. Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah. Biarlah dia berkorban sedikit. Hanya sedikit…

” Kakak… Nenek dah meninggal.”
” Innalillahiwainnailahirajiun.”

Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman.

Nenek tua itu telah sampai ajalnya. Telah tiba waktunya. Rambutnya putih. Tiada yang hitam. Mukanya cengkung. Tangannya berkedut. Hanan sayang orang tua itu. Dialah yang mengasuhnya selama ini. Mendidiknya menjadi orang yang berguna. Ibu juga mendidik. Ayah juga mengajar. Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi. Akhirnya, nenek pergi jua. Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya. Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad.
” DaripadaNya kita datang. KepadaNya kita kan kembali.”

” Kak Hanan.”
” Ya saya. Siapa di sana?”
” Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.”
” Ooo… Ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?”
” Em… Akak… Saya harap akak tidak marah. Tapi, saya dah tak mampu,” talian sunyi sebentar.
” Akak… Saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya, dan saya sanggup menjadi yang kedua.”
” Ustaz tahu hal ni?” Hanan cuba menahan getar di hatinya.
” Mungkin tahu. Tapi, buat-buat tak tahu. Saya terseksa.” Diam lagi…
” Saya yakin ustaz akan mendengar nasihat akak. Kak… Pinanglah dia untuk saya.”

Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup. Dia tidak sanggup bermadu. Tidak rela dimadu. Apatah lagi berkongsi suami. Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu. Malahan dua… Tiga… Empat… Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera. Tapi…

Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi? Dia berkorban kerana ketaatan. Kerana patuh terhadap suami. Perlukah dia terus memendam rasa lagi? Menangis!! Hanan tidak akan menangis kerana dugaan, dan ujian. Saidina Ali pernah menangis kerana dirasanya Allah tidak memandangnya. Mengapa? Kerana dirasakan tiada ujian diturunkan buatnya. Ujian!! Sebagai tanda kasih Tuhan. Sama ada ingin mengangkat martabat hambaNya itu, ataupun sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Dua-dua sama. Sebagai tanda cinta Ilahi. Allah pernah berfirman,
” Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya,” Al-Baqarah : 286. Hanan juga tahu firman Tuhan, ” Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.” Tapi…

Macam mana dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini? Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran. Nanti… Abu, dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona, dan Muhammad. Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu. Hanan yakin. Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman. Tapi kini, tangisannya berbunyi. Tangisannya meggugurkan air mata jatuh ke bumi.

Hanan teringat pesan Tok Guru. Poligami tidak salah. Malah meringankan beban wanita yang terseksa. Asal kita hayati, fahami konsepnya. Beliau juga berpesan kepada para suami agar tidak menambah yang sedia ada. Tetapi, jika gelora hati tidak mampu ditahan, nikahlah. Kahwinlah satu lagi. Tafaddhal masykura. Banyak kelebihan sebenarnya isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pertama, darjatnya pasti diangkat Allah. Kedua, membolehkan si isteri mendekatkan diri kepada Tuhan. Benar. Bila suami bersama isteri kedua, bolehlah isteri pertama melakukan ibadat sunat. Bolehlah dia qiam sepertiga malam. Hanan tahu semua itu. Pasti dia dapat menghampiri Tuhannya. Mengadu, merintih kepadaNya. Tapi…Kan ketaatan itu juga satu ibadah?

“Kenapa lain macam saja ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bila mana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.

“Tak adalah bang. Ayang letih saja,” kata Hanan menahan sebak di dada.
“Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan… Abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan, dan mendudukkan dia di sisinya.

“Ceritakanlah… Ayang bukan sahaja isteri abang. Tapi sahabat, dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita.”
” Abang…” Hanan makin sebak.
Tiba-tiba…
” Umii… Tengok abang ni. Dia kacau Imah.”
” Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main saja.”
” Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.”
Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad. Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya. Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Tapi, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatimya telah mati. Cerai? Ya. Perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.

Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya. Dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka. Apatah lagi berwajah sugul. Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah. Muhammad amat mencintai Hanan, dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak tentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan? Lebih parah lagi bila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad. Sesungguhnya…

“Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24.

” Abang…” Hanan bersuara satu malam.
” Yang…”
” Baru-baru ni, pelajar abang telefon.”
” Ya.”
” Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu.
” Ya.”
” Katanya…” Diam seketika.
” Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.”
” Jadi?” Begitu tenang lelaki ini.
” Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis, dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya.
” Sebab inikah kamu berubah isteriku?” Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu. Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya.
” Kalau ayang suruh abang kahwin, Kenapa menangis?” Diam…
” Ayang tak sanggup?” Diam lagi…
” Kalau tak sanggup, Kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu.
” Ayang. Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.”

Lagi seminggu Hanan akan melahirkan bayi yang ketiga. Kalau muzakkar, namanya Umar. Kalau muannas, pastinya Siti Muthiah. Muhammad tidak sabar menanti saat itu. Saat lahirnya marjan, sebagai tanda kasih berpanjangan. Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya. Tika dia turun berjuang. Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecatatan yang ada.

” Abang… Takut rasanya kali ini.”
” Kenapa? Kan abang ada.”
” Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.”
” InsyaAllah, segalanya akan selamat.”
” Abang…”
” Ya.”
” Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…”
” Tak akan ada apa-apa yang berlaku.”
” Kalau-kalau…”
” Semua akan selamat,” pintas Muhammad.
” Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.”

Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang. Tapi, usahlah begitu. Benarlah kata seorang motivator. Wanita itu mudah tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia. Hanan juga tidak terkecuali. Percayalah Hanan. Cinta abang untuk Hanan seorang.

“Encik Muhammad… Nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi, atau si ibu.”
“Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah memberi arahan.

Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu. Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis? Darah begitu banyak tetapi tangisan bayi masih belum kedengaran. Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba… Kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sumber: http://www.rediesh.com/

Cinta terlarang kerana Allah??

“Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All the best in everything you do… Jaga diri & iman baik-baik yea~… -Amin, UK-”

Aku mencapai telefon tanganku dan membelek-belek SMS ucapan hari lahir yang diterima minggu lepas. Cukup ringkas. Namun, aku masih tertanya-tanya mengapa Amin hanya mengirimkan SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-tahun sebelum ini pasti sudah ada kad besar dan bermuzik akan tiba beberapa hari sebelum hari lahir ku. Dah la pakai nombor orang lain, siap tulis nama penuh aku pula tu. Tak pernah pula dia tulis macam ni… Ish, hati mula ragu-ragu. Menyangka sesuatu yang tak baik sedang berlaku.  Adakah dia sudah ….? Argh, tak mungkinlah! Dia dah kata takkan ….

Aku teringat ketika dia pulang bercuti pada musim summer tahun lepas. Namun, sebelum itu aku sudah rasa banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia telah mula banyak memberi nasihat-nasihat baik ketika kami berhubung samada melalui telefon, SMS, email, YM dan juga friendster. Dan ketika itu, aku mendapat cuti seminggu dan telah bercadang untuk turun ke KL dengan kakak melawat saudara-mara, dan sambil-sambil itu bolehlah juga berjumpa dengan si Amin. Setahun sekali tak salah rasanya. Melepas rindu la sedikit. ‘Boring’ juga kalau asyik berhubung melalui telefon saja. Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik setiap hari pun boleh.

Di KL, aku telah menghubunginya dan cuba mengajak untuk berjumpa. Dia menolak ajakan aku untuk keluar berjalan-jalan daripada pagi sampai ke petang. Dia hanya boleh berjumpa dengan ku seketika sahaja pada petang hari. Walaupun dia beralasan sibuk, tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana. Nak tak nak, aku terpaksalah menerima sahaja cadangannya. Asal boleh berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan petang itu kami taklah ke mana-mana sangat. Ronda-ronda sahaja dengan kereta Wira kesukaannya itu. Selepas solatAsar di Masjid Wilayah, Amin membawa aku ke sebuah restoran dan kami makan ‘early dinner’ di situ. Kemudian, satu detik yang agak ‘mengingatkan’ bagi aku adalah sewaktu kami dalam perjalanan menghantar pulang aku ke rumah saudaraku… Dia ada bertanya “Apa beza kita dengan diaorang kat situ tu ye?” Amin menunjuk-nunjuk ke arah beberapa pasang ‘couple’ yang sedang lepak berdua-duan di tempat-tempat duduk sepanjang sebuah taman. Aku tergamam sekejap. Huh. Agak menduga, tapi ’simple’ saja. “Ala, kita ni baik sikit. Tak ada pegang-pegang. Tutup aurat elok. Sampai waktu solat, kita solat. Erm… Islamik sikit la pendek cerita!.” “Hmm..” Amin hanya mengangguk-angguk. “Dalam Islam ada ke macam ni?” Amin menduga lagi. Erk… Semakin terkesima aku dibuatnya. Kali ini aku terus diam terpaku. Aku tahu dia lebih banyak tahu selok-belok masalah benda-benda macam ini. Kalau aku jawab lagi, mesti dia ‘counter’ lagi. Huh. Diam sahaja lah! “Erh, abaikan je lah. Saja je saya tanya…” Amin cuba menyedapkan hati.

Tidak lama selepas Amin terbang pulang semula ke UK untuk menyambung sesi pelajarannya yang baru, dia ada menghantar satu email kepada ku untuk menerangkan kedudukan dan tujuan dia bertanya akan hal itu. Aku sudah mula faham sedikit-sebanyak yang aku perlu mengawal hubungan yang masih tidak ‘rasmi’ ini. Dan sejak daripada itu dia tidak pernah langsung menelefon aku. SMS pula hanya bertanyakan tentang pelajaran sahaja. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Namun, aku bersyukur dan gembira kerana dialah yang membuat aku berubah untuk jadi lebih baik dan lebih faham Islam. Jika dulu pakaian aku agak ketat dan singkat, kini sudah banyak yang labuh dan longgar aku beli. Tudungku pun pernah ditegurnya agar melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang memperkenalkan padaku apa itu usrah dan dakwah. Dia juga ada berpesan – ‘Jaga hubungan dengan Allah tu lagi penting. Insya Allah, kemudian Dia akan jaga hubungan kita.’

Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Hatiku masih tak tenteram memikirkan SMS ucapan hari lahir itu. Macam-macam sangkaan buruk bermain-main dalam hati yang mula busuk ini. Aku masih setia menanti kepulangannya. Dan aku yakin dia juga setia pada aku. Aku tak pernah memikirkan lelaki-lelaki lain selain dia. Dan aku yakin dia juga tak pernah nak menggatal dengan perempuan-perempuan lain. Dia taklah seperti kebanyakan lelaki yang ‘playboy’ pada masa kini.Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata sedemikian.‘Tuuut. Tuuut…’ Nada dering SMS berbunyi. Nombor Amin yang terpapar. “Esok free tak? Boleh kita chatting?” “Boleh… Saya free je.” jawab aku ringkas. Erm, mesti dia saja nak buat ’surprise.’ Aku dah agak dah, takkanlah dia hantar SMS saja untuk ‘wish birthday’ aku. Keyakinan aku mula bertambah. Dia masih sayang padaku. “Ok.Tq…” balasnya pula. Keesokannya, aku menanti awal dia online. ‘Tuk. Tuk. Tuk..’ Amin has signed in. Oh, tepat sungguh waktunya…

Amin: assalamualaikum wbt.
Wani: wsalam…
Amin: apa khabar? sihat? iman baik?
Wani: alhamdulillah… sihat2..=) awak?
Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman selalu turun naik sejak kebelakangan ni… tp takpe, ok je semua
Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw, thanks for the bday wish last week…
Amin: welcome… tak balik. byk kerja sket tahun ni… lagi pun saya nak try bekerja… cari duit…
Wani: wah, rajinnya… baguslah! Amin: hurm…
Amin: study macam mana?
Wani: ok je… new sem ni berat sket.. Jadual pack.
Amin: oic… Amin: takpe, study rajin2 ye..
Amin: hurm, dah lama nak tanya ni sebenarnya…
Amin: hurm…
Wani: apa dia? tanya la… sila2..
Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm, apa pendapat awak tentang kita sekarang?
Wani: erh… macam awak kata dalam email tu dulu yang kita ni kan ‘kawan’… tak lebih daripada tu… tp, special sket… tiada couple-couple mcm org lain… declare pun tak kan?
Wani: so, statusnya kawan je la…
Amin: hurm… Wani: erh, tak betul ke? Amin: hurm.. ni opinion je la – antara lelaki dan perempuan yg bukan mahram, tiada perhubungan yang lebih akrab melainkan hubungan suami isteri shj… yg lain2.. atas alasan aper skali pun ia tak patut diterima.. Aku tergamam seketika. Tertampar keras juga rasanya…
Wani: jadi…
Amin: saya rasa kita harus stop… stop untuk berpisah…
Amin: sbb……
Amin: sbb saya sedar yg semua ini adalah salah dan juga keliru…
Amin: benda ni akan buatkan hati ternodai… zina hati akan banyak berlaku…
Amin: walaupun kita jauh, tak call, tak jumpa dll, tapi hati tetap ber’zina’…
Amin: huh…
Amin: saya bercakap itu dan ini pada org ramai… tapi, dalam masa yang sama saya meyelindungi sesuatu yang tak sepatutnya saya buat…
Amin: kononnya Islamik…
Amin: saya rasa cara ni tak betul… kita sbnrnya yang dah menyarungkan benda yg tak baik ni dgn Islam… then, org nampak Islamik…
Amin: saya rasa takde beza pun kita dgn org lain yg duk ber’couple2’ nieh..
Amin: hurm…..
Amin: jadi, saya rasa kita harus berpisah…
Amin: demi menjaga diri…& sama-sama untuk kembali harungi hidup dalam redha Ilahi…
Amin: sorry… sorry byk2 untuk segala apa yang telah kita buat…
Amin: dan sorry juga sbb telah membawa awak ke jalan yang lupa pada-Nya…
Amin: andai ada jodoh, moga dipertemukan…

Astaghfirullahalazim… Aku beristighfar panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air mata jahiliyah ku deras menitis membasahi meja. Sedikit terpercik pada keyboard laptop. Aku tak sangka perkara seperti ini akan terjadi sepantas ini. Ringkas, lembut, berhikmah serta points-nya yang jelas membuat aku tak dapat membantah dan berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan sesekali timbul rasa kesal pun ada. Tapi, semua itu tak bermakna lagi… Aku tak mampu lagi untuk menyambung perbualan tersebut. Ku pasrah dan terima sahaja keputusan yang dibuat oleh Amin itu. Di saat ini, hanya Allah yang bisa mendengar bisikan hati rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon keampunan atas segala kekeliruan yang telah aku timbulkan. Rupanya selama ini aku telah tertipu dengan bisikan musuh, mengikut jalan taghut, mencampurkan halal dan haram, serta mengandunkan yang Islam dan al-hawa… Cinta hakiki hanyalah pada Allah…

Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul iman yang pernah dibincangkan oleh naqibah aku tak lama dahulu; pertama-tama sekali mestilah mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada makhlukNya, kemudian mencintai seseorang itu hanya kerana Allah dan akhir sekali, mesti benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan dirinya ke dalam api neraka. Dengan demikian barulah dapat merasai kemanisan iman itu. Hanya Allah sahajalah yang layak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan ini dan moga-moga diringankan beban yang kupikul ini. Aku terus menjawab ringkas….

Wani: thanks & sorry too… saya terima… Alhamdulillah…
Wani: moga awak bahagia dan sukses selalu di sana. doakan saya juga.
Wani: wassalam. Signed out

Aku merasakan hubungan tiga tahun yang terbina itu memang salah pada dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat mewujudkan sebuah keluarga yang menjunjung Islam jika asasnya terbina melalui cara al-hawa? Ya, kami memang saling menasihati dan bertazkirah, saling mengejut Qiamulali, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi semua itu memang tak betul caranya… Aku sedar yang kami telah mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat peribadi… Astaghfirullah.. Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.“Sayang… Cepat turun ni. Nurul dah nak sampai.” Ops! Tersedar daripada lamunan kisah 15 tahun lepas itu tatkala mendengar sahutan suamiku, Muhammad Aqil untuk bersiap menyambut tetamu istimewa kami Nurul dan Amin. “Ya bang, Wani turun…”Alhamdulillah… Siap semuanya. Aku menutup lid laptopku dan bergegas turun ke bawah. Aku sudah bersedia untuk membentangkan ‘presentation’ kepada beliawan-beliawanis negara mengenai Cinta Remaja dalam program ‘Belia Negara 2057’ esok. Aku sangat bersyukur menjadi siapa diri aku sekarang ini dan aku mengharapkan belia-belia harapan negara dapat kembali kepada cara fitrah yang sebenar dalam menguruskan soal cinta

sumber:http://ismapenang.wordpress.com/

Si Kecil Menolak Ketulusan Hati Insan kerana Cukup Allah Baginya

Bila kudengar suara lolongan serigala
Kurindu kepada serigala
tetapi bila kudengar suara manusia
aku hampir sahaja kehilangan kesedaranku

Seorang lelaki memasuki sebuah masjid bukan pada waktu solat, lalu ia menjumpai seorang anak kecil yang berumur sepuluh tahun sedang melaksanakan solat dengan khusyuk. Ia menunggu sehingga anak kecil itu menyelesaikan solatnya. Kemudian orang itu mendekatinya dan bertanya: “Anak siapa wahai anakku?”. Anak kecil itu menggeleng-gelengkan kepalanya dan menitiskan air mata dipipinya. Kemudian dia mengangkatkan kepalanya dan berkata: “Wahai pakcik, saya seorang anak yatim piatu.’

Lelaki itu tersentuh sekali hatinya dan berkata: “Mahukah kamu menjadi anak angkatku?” Anak itu berkata: ” Apakah jika aku lapar engkau memberiku makan?” Orang itu menjawab: “Ya!” Anak kecil itu bertanya lagi: “Apakah jika aku tidak mempunyai pakaian, engkau akan memberiku pakaian?” Orang itu mengangguk dan mengatakan “Ya!” Anak kecil itu bertanya lagi : “Apakah engkau akan menyembuhkanku jika aku sakit?” Orang itu menjawab: “Wahai anakku, aku tidak dapat melakukan itu?” Anak kecil itu bertanya lagi: “Apakah engkau akan menghidupkanku bila aku mati?” Orang itu menggelengkan kepala : “Aku juga tidak sangggup?”.

Akhirnya anak kecil itu berkata:” Kalau demikian wahai pakcik, serahkanlah diriku kepada.

“Tuhan yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjukkan hidayah kepadaku, dan Tuhanku, yang Dia memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila sakit, Dialah yang menyembuhkan aku, dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali), dan yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari qiamat”.  [ Surah Asy-Syu’ara': 78-82]

Lelaki itupun diam dan pergi meneruskan urusannya, sedang anak kecil itu berkata: “Aku beriman kepada Allah. Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kecukupan kepadanya.”


Mindaku Berbicara

Si kecil yang memiliki tawakkal yang tinggi kepada Allah. Cukuplah Allah baginya. Tidak mengharap manusia tapi hanya Allah semata. Mungkin ada yang berkata, betapa anak ini telah menolak rezeki yang Allah kirimkan untuknya…atau mungkin juga ada yang berkata, anak ini telah menolak ketulusan hati insan yang ingin mendapatkan ganjaran di sisi Allah..seharusnya si kecil ini menerima pelawaan dengan hati terbuka..

Hakikatnya…insan kerdil ini telah melalui jerih derita yang hebat lantaran pemergian ayah dan ibu tercinta dan tinggallah dia sendiri..Di saat tiada sesiapa di sisinya..hanya Allah tempat pengharapan, pengaduan dan pemberi rezekinya..Insan kerdil ini telah merasakan akan kelazatan tawakkal dan iman yang tinggi kepada Allah. Merasakan manisnya berpaut hanya pada Allah..Merasakan nikmatnya apabila menancapkan dalam hatinya, Cukuplah Allah baginya…Pasti iman yang sekuat ini tidak akan menukarkannya dengan bergantung kepada insan, di saat dia telah merasakan segala kenikmatan sebagai seorang hamba Allah yang bergantung hanya pada Allah..

Cerita Seorang Teman

Suatu ketika dia sedang menghadapi masalah kewangan namun tidak diceritakan pada sesiapapun kerana terpahat kukuh dihatinya, Allah akan mencukupkannya dan Allah telah menetapkan rezeki untuknya..Tidak perlu baginya untuk mengharap ihsan manusia..Cukuplah Allah baginya..

Namun, takdir Allah suatu ketika..ada sahabat akrabnya mengetahui situasinya yang agak berat itu dan dengan setulus hati menghulur tangan untuk membantu…Berkali-kali ditolaknya dengan mengatakan: “Tidak mengapa sahabatku, cukuplah Allah bagiku…kuhargai keikhlasanmu itu”.Tetapi temannya tetap mendesak dan akhirnya temanku itu akur apabila sahabatnya berkata: ” Mengapakah dirimu tidak mahu kumendapatkan ganjaran pahala dengan membantumu…Aku juga ingin pahala di sisi Allah sahabatku”.

Sehinggalah suatu hari, terjadi kesalahfahaman antara mereka. Temanku itu tidak bersalah dan sahabatnya juga tidak bersalah cuma suatu silap faham. Betapa sahabat temanku itu telah merobek hati nurani temanku itu apabila terlanjur berkata: ” Bukankah dulu di saat dirimu susah aku yang menolongmu…sekarang lunasi segala halmu sendiri..”

Merintih sepi temanku ini kepada RabbNya.. ” Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui, bahawa dulu diriku pernah menolak bantuannya kerana diriku hanya ingin mengharap padaMu…sedangkan kumenerimanya kerana keinginannya mendapat ganjaran di sisiMu…Silapkah aku Ya Allah?”..

Merintihnya sayu di dalam hati…” Sahabatku…mengapakah kau ungkiti setiap kebaikan yang pernah kau lakukan kepadaku. Bukankah dengan ungkitan itu telah menghilangkan segala ganjaran pahala yang kau harapkan dulu..Mungkin dirimu terlupa sahabatku lantaran amarahmu, mungkin dirimu telah terlupa akan firman Allah”

“Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)…”                                                                                                 [Surah Al Baqarah: 264]

Sejak itu, temanku sangat berhati-hati mendapatkan bantuan insan lain. Jika ada yang ingin membantu akan dikatakan kepada insan itu: “Sahabatku, cukuplah Allah bagiku untuk membantuku di saat susah dan senang. Izinkan aku memautkan diriku sepenuhnya kepada Rabbku..Sesungguhnya sahabatku, diriku amat mengasihimu dan ku tidak mahu amal kebaikan yang kau lakukan hari ini sia-sia kerana ungkitan pada masa akan datang. Jika benar kau ingin menolongku dan mendapatkan ganjaran pahala di sisi Allah semata-mata, mahukah kau menjamin satu perkara padaku?…Dapatkah kau menjamin bahawa walauapapun yang terjadi akan datang, sesekali dirimu tidak akan mengungkitnya..Jika dapat kau menjamin perkara ini akan kuterima seikhlas hati bantuanmu demi keinginan mu memperoleh ganjaran pahala tetapi jika tidak dapat kau menjamin perkara ini…izinkan aku mengharap pertolongan pada Rabbku..cukuplah Allah bagiku sahabatku”….


Ketulusan Itu (bukan) Milik Kita

Kebaikan hati seolah telah menjadi sesuatu yang terlalu mewah untuk kita miliki dan temui saat ini. Memilikinya ibarat menyimpan bara dalam genggaman. Kebaikan hati akan membuat kita tidak bersaing dalam dunia yang keras ini. Hati yang lembut dan lebih ‘manusiawi’ hanya akan menghambat kita dalam meraih kejayaan. Sebaliknya, hati yang ‘tidak menaruh belas kasihan’ dan lebih ‘rasional’ dianggap akan lebih melapangkan jalan mencapai matlamat.

Menemui kebaikan kini juga seolah semakin sulit. Kita semakin suka berprasangka atas kebaikan yang kita lihat. Tidak ada kebaikan yang tulus, semua pasti ada ’sesuatu’ di baliknya. Tidak ada makan siang yang percuma. Bahkan kebaikan hati kini sering dituding sebagai penyebab porak-peranda dan nasib sial. Ketika seorang teman liat membayar hutang, orang-orang mempersalahkan saya. Saya dianggap ‘terlalu baik’ dan tidak berhati-hati sehingga mudah tertipu dengan penampilan luaran seseorang. Dan tidak ada seorangpun yang mempersalahkan teman yang liat tersebut!

Berbagai kejahatan dari kelas bijak pandai hingga kelas biasa yang kita saksikan sehari-hari di media cetak dan televisyen, semakin membekukan hati kita. Selalu waspada dan jangan sesekali leka. Berbaik hati hanya akan menurunkan kewaspadaan dan membuat kita tertipu dan celaka. Saya pun larut dalam arus besar itu.

Sampai suatu ketika di akhir November lalu saya menonton sebuah rancangan realiti di salah satu stesen televisyen swasta. Dalam acara tersebut seorang aktor akan berlakon sebagai orang yang memerlukan pertolongan. Lalu dia akan meminta tolong pada semua orang yang ditemuinya secara rambang. Orang yang memberi pertolongan akan mendapatkan hadiah. Semua kejadian di rakam oleh kamera tersembunyi sehingga diyakini bahawa orang yang menolong itu benar-benar tulus.

Pada edisi itu, ditampilkan seorang nenek tua yang kumal dan lusuh penampilannya, dan diarahkan supaya berlakon meminta minyak tanah ala kadarnya untuk memasak. Sang nenek pun berkeliling dari pintu ke pintu, lengkap sambil membimbit dapur minyak tanah dan botol minyak yang juga tak kalah usang dengan penampilan si pemilik. Bertemu orang pertama, sang nenek ditolak secara halus. Berikutnya, di sebuah kedai runcit yang cukup besar dan ramai, sang nenek kembali ditolak. Si pemilik kedai terlihat waspada dan menyelidik si nenek, curiga si nenek adalah penipu. Berikutnya di sebuah rumah sederhana, sang nenek kembali ditolak, bahkan dengan kasar.

 

Sampai akhirnya sang nenek bertemu dengan seorang lelaki setengah baya penjual minyak tanah yang sedang mengisi stok minyak di sebuah kedai. Seorang lelaki yang gigih. Kerasnya kehidupan tampak jelas tercoret di wajahnya yang hitam berpeluh. Namun wajah itu terlihat ramah dengan senyum. Seperti sebelumnya, tanpa basa basi, sang nenek menghampiri dan meminta minyak tanah kepada si penjual itu. Si penjual minyak tanah tampak sabar dan tekun meneliti penjelasan si nenek. Selesai sang nenek bercerita, tanpa berkata apa-apa, si penjual minyak terus mengambil botol minyak si nenek dan mengisinya. Tetap dengan wajah ramahnya. Tak ada sedikitpun rona kecurigaan, apalagi pertanyaan-pertanyaan berbaur menyelidik akan kebenaran kata-kata nenek tersebut. . Bahkan ketika sang nenek meminta dapur minyak usangnya diperbaiki pula, si penjual minyak tetap melayaninya dengan ramah. Tak ada sedikitpun perubahan rona di wajahnya. Benar-benar tulus, tanpa prasangka!

Jadilah si penjual minyak ‘pemenang’ di acara tersebut. Ketika berikutnya sang pemenang diwawancara, semakin terkuaklah ‘mutiara’ itu. Penjual minyak tanah itu ternyata cacat. Selamat, lelaki setengah baya itu, terlahir dengan kedua kaki yang cacat dan sebelah mata buta!. Setiap hari ia mencari nafkah berjualan minyak berkeliling perumahan, keluar-masuk kampung, menyusuri jalan raya, dengan sebuah basikal tua yang dikayuh dengan sebelah tangannya! Dan mengalirlah kemudian kisah tentang sebuah ketegaran jiwa, ketulusan menjalani garis hidup, kegagahan menghadapi kerasnya ombak zaman, dari seorang Selamat. Dan wawancara diakhiri dengan sebuah kalimat yang begitu menggetarkan dari Selamat, “Saya percaya Tuhan itu Maha Adil”.

Seketika itu, runtuhlah semua kesombongan diri, hancur berkeping diterjang gelombang kesederhanaan. Musnah semua keegoan intelektualiti, tenggelam dalam kebeningan perasaan. Lepas segala keinginan dan nafsu duniawi, jatuh tersungkur di hadapan ketulusan seorang hamba, hamba yang begitu tulus menjalani hidupnya. Dengan semua ujian hidup yang begitu berat, dia tetap tersenyum ramah kepada siapapun, menolong semua tanpa membeza-bezakan walau hanya dalam batas kemampuannya, tak ada iri dan dengki terhadap sekelilingnya yang hidup jauh lebih beruntung, dan dengan ikhlas berkata: Tuhan Maha Adil!.

Saya menangis tersedu-sedu. Betapa buruknya kita di hadapan seorang Selamat. Kita yang dipenuhi dengan berbagai nikmat, namun masih merasa tidak cukup. Seringkali protes ketika hanya mendapat sebuah ujian. Menjadi bebal dan keras hati oleh berlimpahnya kebendaan dan kedudukan.

Hati yang tulus dan lembut masih ada bahkan banyak, bertebaran memenuhi persada. Memeliharanya memang sulit namun bukan sesuatu yang mustahil. Dunia yang keras dan culas tidak cukup menjadi alasan bagi kita untuk menumpulkan dan membekukannya. Kerana kebaikan dan kelembutan hati bukanlah suatu hal bodoh dan sia-sia dalam dunia yang bergetah ini.

Sumber : Unknown (diolah dan dialihbahasa dari bahasa indonesia)

Warkah Cinta Buat Bakal Suamiku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Assolatuwassalam, selawat dan salam buat junjungan mulia, Muhammad S.A.W Kekasih Istimewa…

Salam Sejahtera buat bakal suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…

“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,”

Ku mulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah S.A.W kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini… Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, InsyaAllah.

Calon zaujku,

“Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu…”


Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh umi dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata …


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku hanyalah insan biasa di dunia ini. Umi dan abah telah menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam A.S dan bonda Hawa A.S, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu …

“…maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian)? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri…” (Ali Imran : 159-160)

Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata.

Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul,

“Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya.” (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh.

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1)

Calon Suamiku yang dirahmati,

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”.(An-Nissa’:34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syurga kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga InsyaAllah…

Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata. Benar? Ketahuilah, aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, InsyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan. Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah S.A.W, kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah S.A.W tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.

Wassalam

Dari,
Tulang rusuk kirimu.

Pertemuan… menghadiahkan kita kasih sayang… jika cinta satu pasti bertemu… ia tidak ternilai… kerana antara hati kita telah tiada antaranya lagi yg ada hanyalah cinta kasih Ilahi… kita berpisah hanya sementara kerna pertemuan bukan milik kita… jasad dan suara berjauhan sentiasa namun cinta abadi… biar berpisah selalu menderita kerana syurga menagih ujian sedang neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak jemu… berpisah tak gelisah…

Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu …


Sumber :http://loveiman.blogspot.com/

Coretan Untuk Bakal Isteri

Assalamualaikum wrt. wbt.

Untukmu, Bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan “Kau tercipta untukku.”

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.

Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.”

Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. “Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.”


Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.

Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

“Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.”

Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku,

Bakal suamimu.


Sumber :http://www.iluvislam.com/

Maafkan Ibu, Bidadari Kecilku…..


Malam belum seberapa tua, mata anak sulungku belum juga boleh dipejamkan. Beberapa buku telah habis kubacakan hingga aku merasa semakin lelah.

“Kamu tidur ye Dila, ibu dah penat baca buku, kamu tak tidur-tidur juga,” pintaku .

Ditatapnya dalam wajahku, lalu kedua tangannya yang lembut membelai pipiku. Dan, oh Subhanallah, kehangatan terasa merasuki tubuhku ketika tanpa berkata-kata diciumnya kedua pipiku. Tak lama kemudian, dia

meminta dihantarkanke tandas dan gosok gigi. Ia tertidur kemudian, sebelumnya diucapkannya salam dan maafnya untukku.

“Maafkan kakak ya, ibu. Selamat malam,” ujarnya lembut. Kebiasaan itulah yang berlaku dalam keluarga kami sebelum tidur. Aku menghela nafas panjang sambil kuperhatikan si sulung yang kini telah menginjak sembilan tahun. Itu ertinya telah sepuluh tahun usia pernikahan kami.

Dentingan jam di dinding telah beranjak menuju tengah malam. Jam 12.35 pagi ketika kuterdengar dua ketukan di pintu. Itu ciri khas suamiku. Seperti katanya sebentar tadi di telefon, dia akan pulang lambat kerana ada urusan penting yang tidak boleh ditunda esok. Suami tercinta sudah di muka pintu. Cepat kubukakan pintu setelah sebelumnya menjawab salam.

“Anak-anak sudah tidur?” Pertanyaan itu yang terlontar setelah dia membersihkan diri dan menghirup air hangat yang aku tawarkan. “Sudah,”jawabku singkat.

“Kamu nampaknya sungguh penat. Dila baik-baik saja?” Aku menggangguk. “Ya, saya  memang penat. Tapi saya bahagia sekali, bahkan saya ingin seperti ini seterusnya.”

Lelaki berusia tiga puluh lima tahun itu menatapku dengan sedikit bingung. “Akan selalu ada do’a untukmu, kerana keikhlasanmu mengurus anak-anak dan suami tentunya. Dan aku akan minta pada Allah untuk memberimu pahala yang banyak,” hiburnya kemudian.

Aku tahu betapa dia sangat  ingin tahu apa yang hendak aku katakan, tapi dia tak mau memaksaku untuk bercerita. Tak sanggup aku menahan gejolak perasaan dalam dada yang sepertinya hendak meledak. Kurangkul erat tubuhnya. “Maafkan aku bang,” bisikku dalam hati.

Pagi ini udara begitu cerah. Dila, sulungku yang semalam tidur paling akhir menjadi anak yang lebih dulu bangun pagi. Bahkan dia membangunkan kami untuk solat subuh bersama. Mandi pagipun tanpa dipimpin lagi. Dia membantu adiknya, Helmi, memakai seluar. Dila memang telah berupaya membantuku mengurus adiknya. Tidak hanya itu, menyapu halamanpun dia lakukan. Tapi itu dengan catatan, kalau ia sedang benar-benar ingin melakukannya. Kalau anginnya datang, wah, wah, wah.

Inilah yang ingin aku ceritakan. Dila kerap marah berlebihan tanpa sebab yang jelas, sehingga membaling benda-benda berdekatannya, menggulingkan badan di lantai dan memaki hamun dengan kata-kata kotor. Memang aku pernah melakukan suatu kesalahan saat aku geram menghadapi perangainya. Kerana terlalu marah dan geram yang tak tertahan , aku menghempas pintu dan dia melihat perlakuanku. Tentu akhirnya Dila meniru perbuatanku itu.

Penuh rasa sesal saat itu, aku berjanji untuk tidak melakukan hal itu kembali. Kuberikan penjelasan pada Dila bahwa aku salah dan hal itu tak boleh ia lakukan. Entah ia mengerti atau tidak. Hari itu Dila bangun agakl ewat kerana kebetulan hari minggu.Pakaiannya basah kena air kencing di tilam. Padahal dia biasanya tak begitu. Segera saja kusuruhnya mandi. Tapi Dila menolak, dengan alasan mahu minum susu.

“Boleh, tapi setelah minum susu , kakak cepat-cepat mandi ya, sebab baju kakak basah kena air kencing” .Dila menyetujui perjanjian itu. Tapi belum lagi lima minit setelah habis susu segelas, ia berhambur keluar kerana mendengar teman-temannya sedang main.Mandipun dia tidak mahu. Aku masih bertolak ansur. Tapi tak lama kemudian, “Kak Dila. mandi dulu,” aku setengah menjerit  memanggilnya kerana dia sudah berada di antara kumpulan kanak-kanak yang sedang main lompat tali.

“Sebentar lagi ibu. Kakak mahu melihat Nisa dulu,” begitu jawabnya.

Aku masih belum bertindak. Kutinggal dia sebentar kerana Helmi merengek meminta susu. Setelah membuatkan susu untuknya, aku keluar rumah lagi. Kali ini menghampiri Dila.

“Dah cukup, sekarang masa kamu untuk mandi”, bisikku perlahan di telinganya. Dila bertindak menamparku keras, “Nanti dulu!” aku tersentak, mendadak amarahku tidak terbendung lagi. Aku menampar Dila hingga meninggalkan bekas merah di pipi kanannya. Tanpa berkata-kata lagi, kuseret tangannya sekuat tenaga. Dila terus meronta. Kakiku digigitnya. Aku mencubitnya. Seumpama satu pertarungan besar antara apabila kami saling memukul dan meninggikan suara. Setibanya di bilik mandi kusiram Dila berulang-ulang, kugosok badannya dengan keras, kumenyabun dan kusiram lagi hingga dia kelihatan kebingungan. Aku benar benar mengamuk. Selang beberapa minit kemudian, kukurung Dila di bilik mandi dalam keadaan masih tidak berpakaian.

Ia mengetuk-ngetuk pintu minta dibukakan. Berulang kali dia memaki dan mengatakan akan mengadukan kepada ayah.Tak berapa lama kemudian suara Dila  semakin lemah, hanya terdengar esak tangisnya. Aku membukakan pintu dengan mengomel. “Lainkali, kalau ibu suruh mandi jangan membantah,penat ibu menyuruh kamu mandi, dari tadi kamu membantah ibu menyuruh kamu untuk mandi. Ingat ya, kalau seperti ini lagi, ibu akan kunci kamu lebih lama lagi. Faham!”, Entah dia memahami atau tidak. Dila hanya menangis  meskipun tidak lagi meraung.

Setelah berpakaian rapi, menyikatrambut dan makan. Dila seolah-olah melupakan kejadian itu. Diapun asyik bermain kembali dengan teman-temannya. Peristiwa itu tidak hanya satu dua kali terjadi. Tidak hanya pada saya ibunya tapi juga pada ayahnya. Tapi, cara suamiku memperlakukan Dila sangat berbeza. Barangkali memang sikapku yang tidak sabar menghadapi anak yang degil.

Setiap kali itu terjadi, cara itulah yang aku lakukan untuk mengatasinya. Bahkan mungkin ada yang lebih keras  dari itu. Tapi apa yang dilakukan Dila pada saya, Subhanallah, Dila tidak pernah menceritakan perlakuanku terhadapnya kepada siapapun. Seolah-olah dia memendamnya sendiri dan tidak ingin diketahui orang lain. Akupun tak pernah menceritakan kepada suami, khuatir kalau dia marah.

Padahal Dila itu anak kandungku, anak yang keluar dari rahimku sendiri. Aku kadang -kadang membencinya, tidak memperlakukan dia sepertiman aku memperlakukan Helmi adiknya. Dila anak yang cerdas. Selalu ceria, gemar menghibur teman-temannya dengan membacakan mereka buku yang tersedia dirumah. Bahkan teman-temannya merasa kehilangan ketika Dila menginap di rumah neneknya diluar kota, walaupun hanya dua malam.

Belaian lembut tangan suamiku menyedarkan aku. Kulepas pelukannya perlahan. Tak sedar air mata menyelinap keluar membasahi pipi. “Sudahlah, malam semakin larut. Mari kita tidur,” ajaknya lembut. Aku berusaha menenangkan gemuruh dibatinku. Astaghfirullah, aku beristighfar berulang kali. “Saya mau tidur dekat Dila ya?” pintaku. Lagi-lagi agakkan suamiku membuatku semakin merasa bersalah. Kuhampiri Dila yang sedang memeluk bantal peluk kesayangannya. Siswi kelas tiga SD itu begitu baik hati. Aku malu menjadi ibunya yang kerap memukul, berkata-kata dengan suara keras dan…oh Dila maafkan ibu.

Di sisi Dila bidadari kecilku, aku bersujud di tengah malam. ” Ya Allah, melalui Dila, Engkau didik hambamu ini untuk menjadi ibu yang baik. Aku bermohon ampunan kepada-Mu atas apa yang telah kulakukan pada keluargaku, pada Dila. Beri hamba kesempatan memperbaiki kesalahan dan ingatkan hamba untuk tidak mengulanginya lagi. Dila, maafkan ibu nak, kamu banyak memberi pengajaran buat ibu.”

Sebuah renungan untuk para ibu termasuk diri saya sendiri. Semoga kita semakin menyayangi anak-anak dan memperlakukan mereka dengan baik. Sebagaimana diingatkan dalam sebuah hadits Nabi SAW agar manusia menyayangi anak-anaknya.

Ketika Aqra’ bin Habis At Tamimi mengatakan bahwa ia memiliki sepuluh anak tapi tidak pernah mencium salah seorang di antara mereka, Rasulullah SAW bersabda

“Barangsiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak disayangi”

(HR. Bukhari dan Tirmizi)

Disunting dan dialihbahasa dari bahasa Indonesia dari : http://cerpenislami.blogspot.com

Kisah Sebuah Pernikahan

aqad nikah

Hari pernikahanku. Hari yang paling bersejarah dalam hidup. Seharusnya saat itu aku menjadi makhluk yang paling berbahagia. Tapi yang aku rasakan gundah gulana. Betapa tidak. Di hari bersejarah ini tidak ada satupun sanak saudara yang menemaniku ke tempat mempelaiperempuan. Apalagi ibu.Beliau yang paling keras menentang perkahwinanku.

Masih kuingat betul perkataan ibu tempoh hari, “Jadi juga kau menikahi ‘bungkusan karung hitam’ itu ….?!?” Duh……, terasa luluh hatiku mendengar ucapan itu. Bagaimana tidak, calon isteriku disamakan dengan ‘bungkusan karung hitam’.

“Mungkin kamu sudah terkena sihir, Yanto. Macam mana kamu boleh menyukai seorang gadis hitam, gempal dengan wajah yang sama sekali tidak menarik dan cacat kakinya. Malahan lebih tua beberapa tahun berbanding kamu !!” sambung ibu lagi.

“Cukup ibu! Cukup! Jangan ibu menghina dia sekasar itu. Dia kan ciptaan Allah. Bagaimana jika Yang Maha Pencipta marah kepada ibu…?” Kali ini aku terpaksa membalas ucapan ibu dengan sedikit emosi. Rupanya ibu amat tersinggung mendengar ucapanku.

“Oh…. rupanya kau lebih memillih perempuan itu daripada keluargamu. Baiklah Yanto. Silakan kau menikah tapi jangan harap seorangpun dari kami ada di tempatmu saat itu. Dan jangan kau bawa perempuan itu ke rumah ini !!”

DEGG !!!!

cincin

“Yanto…. jangan terus kebingungan. Penghulu akan sampai sebentar lagi ,” teguran Ismail menghilangkan lamunanku.Segera kuucapkan istighfar dalam hati.

“Alhamdulillah penghulu sudah sampai. Bersiaplah …akhi,” sekali lagi Ismail memberi semangat padaku.

“Aku terima nikahnya,  Shalihah binti Mahmud  dengan mas kawin sepersalinan alat solat tunai !” Alhamdulillah lancar juga aku

mengucapkan aqad nikah.

“Ya Allah hari ini telah Engkau izinkan aku untuk meraih setengah agama.Mudahkanlah aku untuk meraih setengah yang lain.”

Di kamar yang amat sederhana. Di atas katil kayu ini aku terpegun lama. Memandang isteriku yang tengah tertunduk larut dalam lamunannya dan diam. Setelah sekian lama kami saling diam, akhirnya dengan membaca basmalah dalam hati kuberanikan diri untuk menyapanya.

“Assalamu’alaikum …. permintaan hafalan Qur’an abang bila mahu disemak, De’…?” tanyaku sambil memandangi wajahnya yang sejak tadi disembunyikan dalam tunduknya. Sebelum menikah, isteriku memang pernah meminta malam pertama hingga ke sepuluh agar aku membacakan hafalan Qur’an setiap malam satu juz. Dan permintaan itu telah aku setujui.

“Nanti saja dalam qiyamullail,” jawab isteriku, masih dalam tunduknya. Wajahnya yang berbalut kerudung putih, ia sembunyikan dalam-dalam. Saat kuangkat dagunya, ia seperti ingin menolak. Namun ketika aku beri isyarat bahawa aku suaminya dan berhak untuk melakukan itu , ia menyerah.

Kini aku terpegun lama. Benar kata ibu ..wajah isteriku ‘tidak menarik’. Sekilas fikiran itu muncul ….dan segera aku mengusirnya. Matanya berkaca-kaca menatap bola mataku.

“Bang, sudah saya katakan sejak awal ta’aruf, bahawa fizikal saya seperti ini. Kalau Abang kecewa, saya bersedia dan redha. Namun jika abang tidak menyesal beristerikan saya, mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan yang banyak untuk abang. Seperti keberkatan yang Allah limpahkan kepada ayah Imam Malik yang ikhlas menerima sesuatu yang tidak ia sukai pada isterinya.Saya ingin mengingatkan abang akan firman Allah yang dibacakan ibu Imam Malik pada suaminya pada malam pertama pernikahan mereka,

” …Dan bergaullah dengan mereka (isterimu) dengat patut (baik). Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjanjikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisa:19)

Mendengar tutur kata isteriku, kupandang wajahnya yang penuh dengan air mata itu dalam-dalam. Aku teringat kisah suami yang rela menikahi seorang wanita yang memiliki kecacatan. Dari rahim wanita itulah lahir Imam Malik, ulama besar ummat Islam yang namanya abadi dalam sejarah.

lelaki berdoa

“Ya Rabbi aku menikahinya kerana Mu. Maka turunkanlah rasa cinta dan kasih sayang milikMu pada hatiku untuknya. Agar aku dapat mencintai dan menyayanginya dengan segenap hati yang ikhlas.”

Perlahan-lahan kudekati isteriku. Lalu dengan bergetar, kurangkul tubuhya dalam dakapanku. Sementara, isteriku menangis teresak-esak dalam wajah yang masih menyimpan segumpal keraguan.

“Jangan memaksakan diri untuk ikhlas menerima saya, bang. Sungguh… saya bersedia menerima keputusan apapun yang terburuk,” ucapnya lagi.

“Tidak…De’.Sungguh sejak awal niat abang menikahimu kerana Allah. Sudah teramat bulat niat itu. Hingga abang tidak menghiraukan ketika seluruh keluarga memboikot untuk tidak datang tadi pagi,” terangku sambil menggenggam erat tangannya.

Perlahan-lahan malam telah naik ke puncaknya . Dalam lengangnya bait-bait do’a kubentangkan pada Nya.

“Robbi, tidak dapat kumenolak bahawa kecantikan wanita dapat mendatangkan cinta buat laki-laki. Namun telah kutepis memilih isteri kerana rupa yang cantik kerana aku ingin mendapatkan cintaMu. Robbi saksikanlah malam ini akan kubuktikan bahawa cinta sejatiku hanya akan kupasrahkan pada-Mu.Oleh itu, pertemukanlah aku dengan-Mu dalam Jannah-Mu !”

Aku berengsot menuju pembaringan yang amat sederhana itu. Lalu kutatap raut wajah isteriku dengan segenap hati yang ikhlas. Ah, .. sekarang aku benar-benar mencintainya. Kenapa tidak? Bukankah dia wanita solehah sejati. Ia sentiasa menegakkan malam-malamnya dengan munajat panjang padaNya.Ia sentiasa menjaga hafalan KitabNya. Dan sentiasa melaksanakan puasa sunnah Rasul Nya.

“…dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya pada Allah …” (Surah Al-Baqarah:165)

=========================================

Ya Allah sesungguhnya aku ini lemah , maka kuatkanlah aku dan aku ini hina maka muliakanlah aku dan aku fakir maka kayakanlah aku wahai Dzat yang maha Pengasih

Disunting dan dialihbahasa dari bahasa Indonesia dari : http://cerpenislami.blogspot.com

TINTA BUAT BAKAL SUAMIKU

Coretan Seorang Sahabat Buat Bakal Suami…Dan Ingatan Buat Bakal Isteri

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali.

Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya kukhususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang kujaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu sejak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu daripada mereka. Jadi, kau telah wujud di dalam diriku sejak dulu lagi.

gADIS

Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku untuk mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku daripada mengenali mereka kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka.

Kerana itulah, aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih bersifat ‘perumahan’ kerana rumah itu tempat yang terbaik buat seorang perempuan. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi bagiku, lebih baik berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata.

Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan kubuat expressionless face dan cool. Akan kupalingkan wajahku dari lelaki yang ralit merenungku ataupun cuba menegurku. Aku cuba sedaya mungkin melarikan pandanganku dari ajnabi kerana pesan Sayyidatina Aisyah, sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang. Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan. Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai disoal? Adakah itu sumbanganku pada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, akulah yang terlebih dahulu perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Andainya aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku aku juga perlu menjadi perempuan yang baik untuknya. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak kunafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Setiap kali perasaan itu datang setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah di bahagi-bahagikan.

Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak. Berbagai-bagai dalil kukemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ sebaliknya sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh kehidupanku yang ceria selama ini telah dirampas dari diri ini.

Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan.

Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kurasakan seolah-olah dirimu wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Kutahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, woman intuitionku yang mengatakan lelaki itu bukan untukku.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih berlian sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang bisa wujud di mana-mana. Namun, aku juga punya keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu.

Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S. yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti akan mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasanmu itu padaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syarak. Aku bimbang perlakuan itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

heartlove_dsztq1k3

Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada jalan mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk kau berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan kukesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.

Aku pasti berendam airmata darah andainya kau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang kumimpikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibu bapaku.

Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agama. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dipetik dari layarislam.blogspot.com/

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers